Rabu, Julai 14, 2010
Bahaya Lisan & Salah Faham
Jumaat, Januari 29, 2010
SUATU ISU YANG "NON-ISSUE"
(Catitan ini ditulis sebagai lontaran peribadi bagi berkongsi pendapat mengenai isu “Allah” yang pada mulanya penulis enggan untuk memberi sebarang komen, namun perkembangan mutakhir ini – merujuk kepada serangan rumah-rumah ibadat termasuk yang terbaru kepala khinzir dilontarkan ke dalam masjid, maka amat perlu rasanya dinyatakan di sini)
Petang tadi setelah selesai tidurkan Darius dan menyediakan makanan untuk “dinner”, maka saya mengisi masa dengan membelek terjemahan Quran yang sudah lama dalam koleksi saya sejak 1994 - “The Quran” oleh Dr. T.B Irving (Al-Hajj Ta’lim Ali) yang pada asalnya untuk memahami 5:4 iaitu berkenaan dengan akhir wahyu yang diturunkan secara kronologi membawa maksud pengakhiran tugas Muhammad sebagai Rasul.
Inisiatif untuk memahami bahawa Allah telah sempurnakan agama kita untuk kita , mencukupkan rahmat-Nya atas kita dan redha Islam sebagai agama kita. Dalam kalimat “sempurna” – “ akmaltu” dari kata akar “kamil”.
Saya terfikir sejenak betapa sebenarnya telah sempurna Islam itu dengan turunnya Quran tanpa perlu lagi kepada pemahaman-pemahaman dan interpretasi keagamaan oleh mana-mana individu sekalipun. Sebab itu makin kucar-kacir pemikiran umat Islam apabila banyak sangat rujukan-rujukan kepada selain dari Quran. Dan banyak pula individu-individu mahupun kumpulan tampil dengan pandangan mereka sendiri berkenaan dengan apa itu Islam dan intipati-intipatinya menurut kacamata mereka bukan kacamata Quran.
Tapi bukan itu yang hendak dikongsikan di sini. Nanti akan dibicarakan dalam coretan yang lain. Lantas saya membandingkan dengan terjemahan bahasa Melayu – “Al-Quranul Karim – Terjemahan alih bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)1992 [ Buku ini diterjemahkan dari “The Meaning of THE HOLY QURAN” oleh Abdullah Yusuf Ali ] untuk melihat kupasan kalimat “akmaltu” itu. Atas izin Allah (mungkin juga sengaja Allah tunjukkan), saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsikan di sini dan menguatkan lagi hujah saya sebelum ini bahawa isu Allah yang kian memuncak akhir ini sebenarnya “a non-issue”.
Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady – seorang alimun yang tidak asing lagi di Malaysia telah menterjemahkan THE HOLY QURAN, terjemahan oleh Abdullah Yusuf Ali (yang dianggap oleh Dr. Muhammad Uthman sebagai tafsir terbesar dan terbaik dalam bahasa Inggeris) ke dalam bahasa Melayu. Apa yang menarik perhatian saya adalah pada terjemahan nota kaki yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali pada nota kaki no.786 berkenaan ayat 5:78. Saya lampirkan di bawah ini nota kaki tersebut dalam kedua-dua terjemahan yang dapat saya bandingkan:
786. The Psalms of David have several passages of imprecations against the wicked. Cf. Psalms cix 17:18; lxxviii. 21-22 (“Therefore the Lord heard this and was wroth: so a fire was kindled against Jacob, and anger also came up against Israel; because they believed not in God, and trusted not in His salvation”); Psalms lxix. 22-28, and Psalms v.10.
* THE HOLY QURAN – Abdullah Yusuf Ali : m/s 273
786. Dalam Zabur Nabi Daud a.s. ada beberapa ayat yang mencela mereka yang jahat dan zalim. Bandingkan dengan Psalms cix. 17-18; lxxviii. 21-22. (Oleh itu Tuhan mendengar perkara ini dan Ia Murka: maka api pun dinyalakan untuk Ya’qub, dan Murka datang juga terhadapa Isra’il; kerana mereka tidak beriman terhadap Allah dan tidak yakin tentang Keselamatan yang dikurniakannya.” Psalms lxix. 22-28, dan Psalms, v. 10.
*Al-Quranul Karim – oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady,edisi terjemahan ke bahasa melayu; Jilid 1 m/s 512 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1992.
Abdullah Yusuf Ali merujuk kepada ayat di dalam Bible iaitu Perjanjian Lama pada Psalms 78: 21-22. Yang menariknya Dr. Muhammad Uthman telah menterjemahkan God kepada Allah. Tidak pula dinyatakan rujukan oleh Dr. Muhammad Uthman ketika memetik ayat seperti di atas melainkan menterjemahkannya bulat-bulat. Saya yakin dan percaya bahawa terjemahan ini dipilih atas keilmuan Dr. dalam memahami konteks ayat tersebut di atas dan istilah yang paling tepat adalah Allah.
Saya bentangkan di bawah ini petikan ayat tersebut di atas daripada THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition dan ALKITAB – iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dalam terjemahan baru, yang diselenggarakan oleh Lembaga AlKitab Indonesia , 1987 – kedua-duanya telah lama saya miliki sejak dari tahun 1994:-
“When the LORD heard them, he was very angry; his fire broke out against Jacob, and his wrath rose against Israel, for they did not believe in God or trust in his deliverance.” Psalms 78:21-22.
*THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition.
“Sebab itu, ketika mendengar hal itu, TUHAN gemas, api menyala menimpa Yakub, bahkan murka bergelojak menimpa Israel, sebab mereka tidak percaya kepada Allah, dan tidak yakin akan keselamatan dari padaNya.” Mazmur 78: 21-22.
* ALKITAB – 1987.
Sekadar ringkasan kepada hujah saya sebelum ini – telah banyak diutarakan, jadi biar disimpulkan di sini sahaja, bahawa bahasa Ibrani (Hebrew), bahasa Aramaic (bahasa pertuturan Isa Al-Masih dan seluruh kaum Yahudi di kawasan Judea ketika hayatnya) dan bahasa Arab berkongsi kata akar yang sama.
Elohim, Eli, Eloi berkongsi kata akar dengan Ilah dalam bahasa Arab membawa maksud God. Kalimah Allah berasal daripada Al-Ilah yang bermaksud “The God”. Oleh kerana tiada partikel “The” di dalam bahasa Melayu maka dikekalkan kalimah Allah merujuk kepada God.
Istilah Elohim (bahasa Ibrani/Hebrew) sebagai contoh dalam Exodus 3:4 (Keluaran 3:4), istilah Eli atau Eloi (bahasa Aramaic) dalam Matthew 27:46 dan Mark 15:34.
Tidak perlu kepada emosi meluap-luap tanpa sandaran hujah dan tidak perlu kepada penjelasan bahawa akan wujudnya kontroversi dalam penggunaan istilah Allah kepada terjemahan God kerana sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa Allah itu tetap Satu. Jangan mudah jadikan diri kita ini dangkal dan jumud dalam pemikiran yang akhirnya membiarkan emosi menguasai segalanya tanpa ada rasional. Tidak perlu fatwa untuk membenar atau melarangnya. Sebab itu saya nyatakan bahawa isu ‘Allah’ ini sebenarnya tiada isu.
“Segala Puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.” Q 1:2
Selasa, September 22, 2009
Dari minda terus ke jari.
Isnin, September 21, 2009
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Sabtu, September 19, 2009
Achik's Burger
Isnin, September 14, 2009
Coretan Ringkas
Khamis, Ogos 13, 2009
Takziah buat keluarga Asri Ibrahim
Sabtu, Julai 11, 2009
Lama menyepi, kini kembali.
Isnin, Januari 12, 2009
Meraikan Hari Lahir Darius
12 JAN 2009 - Darius Dah Setahun.
Tepat jam 3.31 pagi 12 Januari 2009, genap setahun usia Darius. Alhamdulillah, syukur di rafa’kan ke hadrat Ilahi kerana sikecil yang disayangi telah pun genap setahun membesar. Sepanjang tempoh ini, pelbagai suka dan duka, penat-lelah yang telah ditempuhi. Namun segalanya ditelan bulat-bulat demi memastikan anak yang disayangi membesar dengan sempurna.
Sepanjang setahun ini jugalah saya dan isteri menjaga sendiri Darius tanpa pembantu rumah atau hantar ke nursery. Memang agak sukar pada mulanya memandangkan kami berdua bekerja menguruskan firma guaman kami sendiri. Syukur, Allah masih memberikan ruang masa untuk kami melakukannya. Saya amat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh isteri tercinta sepanjang tempoh ini bersama-sama saya.
Kronologi Detik Kelahiran Carshief Darius Ambar:
Tarikh asal jangkaan kelahiran sikecil ini ialah pada 2 Januari 2008. Mungkin kerana masih ingin berada di dalam perut Mummynya maka selepas ‘check-up’ dibuat, Dr. Koh memberikan tempoh seminggu lagi untuk ‘due’ dan sekiranya tiada tanda-tanda untuk melahirkan berlaku dalam tempoh ini, maka 9 Januari 2008 kami mesti berada di Wisma Bersalin.
9 Januari 2008, saya, isteri dan ditemani Mama (ibu mertua) hadir ke Wisma Bersalin Chang & Koh, Kulim, Kedah. Setelah ‘check-in (macam hotel lak), kami diberikan penerangan dan menunggu sahaja saat-saat yang dinantikan. (Tapi macam lambat jer). Sehari berlalu tanpa ada apa-apa perkembangan.
Keesokannya tepat jam 3.00 petang 10 Januari 2008, Dr. Koh telah memecahkan air tetuban bagi membolehkan proses kelahiran normal. Tempoh 12 jam diberikan untuk melihat samada perlu dibedah atau boleh melahirkan secara normal dengan harapan bukaan pintu rahim hingga ke 10 inci. Dengan isteri saya yang tidak sempat untuk makan, minum hatta membuang apa-apa yang patut, isteri saya terus terbaring dan tidak dibenarkan pergi ke mana-mana hatta ke tandas sekalipun (dah air tetuban dipecahkan, mana mungkin boleh bergerak ke sana ke mari). Tidak jijik untuk saya katakan bahawa saya yang menguruskan ketika isteri perlu melepaskan ‘hajatnya’.
Dalam tempoh 12 jam ini, bukaan pintu rahim amat perlahan sekali, paling besar pun 4 inci. Dan sepanjang tempoh ini jugalah ‘contraction’ berlaku tanda bahawa proses kelahiran kian hampir. Saya jadi tambah seronok pula melihat graf pada mesin pengukur kadar denyutan nadi isteri dan Darius dalam perut Mummynya dan bagaimana membaca tanda-tanda ‘contraction’ pada graf. Seakan melihat naik turun harga pasaran. Saya tidak dapat melelapkan mata dengan sempurna meski mengantuk yang amat sangat kerana risau akan keadaan isteri. Kami (saya dan Mama) bergilir-gilir untuk menemani isteri di bilik bersalin.
Tepat jam 3.00 pagi 12 Januari 2008. Setelah tiada tanda-tanda pintu rahim akan buka hingga ke 10 inci, Dr. Koh memutuskan untuk membedah isteri bagi mengeluarkan Darius yang masih lagi ingin terus berada di dalam perut Mummy. “Setengah jam lagi, kita akan mula”, kata Dr. Koh. Isteri kemudian dipindahkan ke Dewan Bedah. Pada ketika ini jugalah, Mama, Kak Be dan Abang Is (Ibu, Kakak dan abang ipar saya) sampai ke Wisma Bersalin ini setelah bertolak dari Kuala Lumpur untuk bersama-sama saya. Setelah mengenakan pakaian untuk masuk ke dewan bedah, saya duduk di sebelah isteri memberikan sokongan dan kata-kata semangat bagi menantikan saat-saat ini.
Jam 3.31 pagi, Darius selamat dikeluarkan secara caesarian dengan tali pusat terbelit dua kali pada lehernya. Itu yang membuatkan Darius tidak dapat turun keluar secara normal. Segalanya dapat saya saksikan namun sayang, saya tidak dibenarkan untuk merakamkan detik-detik penting ini (boleh juga tunjuk kepada Darius bila dia besar nanti).
Syukur segalanya telah selesai. Bermula pula episod baru dalam hidup saya sebagai bapa. Pada saat pertama menatap wajah Darius setelah dibersihkan dan diletakkan di bawah satu mesin pemanas, dan pada saat itu juga Darius menatap wajah saya, satu perasaan yang amat-amat sukar digambarkan wujud dalam hati ketika itu. Dan sekilas lalu, wajah arwah Papa tersayang tergambar dalam ingatan membuatkan saya bertambah sayu. Dan tatkala menulis catatan ini, perasaan rindu saya terhadap arwah Papa bertambah kuat. Segala kekosongan dan kerinduan yang amat mendalam terhadap arwah Papa masih belum terisi. Begitu juga setiap kali menatap wajah anak kesayangan saya, pasti ingatan dan perasaan rindu terhadap Papa menjelma.
Dan kini, Darius telah pun berusia setahun. Meski hanya boleh menapak dua tiga langkah (bukannya tak boleh jalan, cuma tak nak jalan saja), dia gagahkan juga menapak lebih dari tiga sebelum tidur sebentar tadi. Itu pun setelah dilatih dipimpin berjalan. Dan esok setelah selesai urusan Mahkamah, kami bercadang untuk ‘celebrate’ di luar.
Sabtu, Januari 10, 2009
New Year
A lots of thing happened during 2008. Generally speaking, the political issues have been the very first issues (almost) coming out from most of us. Then there was and still, the economy issues – add with the crude oil price that went up north which affected almost all walks of life. Thank GOD, crude oil price has found its resistance level and in the midst of moving back to its recent support level. But as time goes by, people will only care to anything that affected their life. More than that, they would choose not to seriously get involve either by discussing or even take part in any role concerning it.
As usual, the beginning of New Year wouldn’t be colorful if there’s no New Year Goals (as if a must). And with that, here’s are my New Year Goals 2009 :-
I want to be the humble servant of THE GOD, a loving and faithful husband, a loving father, a diligent advocates & solicitors, a smart forex trader and of course, a new person (read: views) towards his surroundings.
May Allah Bless Me.Selasa, November 04, 2008
Lega!
Setelah 4 hari kena jangkitan spyware pada laptop, dan setelah diformatkan semula, hari ini baru saya dapat online. Syukur, segalanya telah berakhir. Lega. Hati-hatilah bila melihat fail 512686.dll dalam folder sys32, folder windows. Setelah dipadam berkali-kali, ianya muncul kembali. Ngeri! Tapi sekarang dah lega..!
Seronok saya sepanjang perayaan Deepavali yang lepas. Bukan kerana saya sibuk pergi menziarah rakan-rakan India, tapi sibuk depan tv sambil menonton 3 filem yang amat-amat menghiburkan. Pertama cerita Hindi pada hari sabtu lepas yang tajuknya sudah lupa. Kedua, cerita Om Shanti Om lakonan "Datuk" Shahrukh Khan. Memang kelakar habis. Cerita yang sedih boleh digarap menjadi komedi. Dan yang terakhir, Shivaji The Boss. Yang ini memang best!.. Sepanjang 3 hari mood saya & isteri tercinta amat baik sekali kerana dihiburkan dengan filem-filem sebegini sehinggakan kami bercadang untuk mencari DVD bagi dua filem tersebut. Hilang segala tekanan dan penat-lelah buat sementara waktu. Lega!
Harga petrol juga sudah diturunkan. Meski saya percaya bahawa harga petrol ini boleh diturunkan dengan lebih rendah lagi, namun saya bersyukur. Kurang sedikit beban yang ditanggung. Lega!
Jumaat, Oktober 17, 2008
Catitan Sekali Harung
Bermula dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri bagi mereka yang menyambutnya. Tidak terlambat rasanya untuk sama-sama bergembira meraikan perayaan ini. Meski sambutan kali ini agak menghambat saya & keluarga, suasana tetap ceria tambah diraikan dengan ahli keluarga yang baru, sikecil pengarang hati. Cuma ralat, tiada sebarang gambar keluarga yang sempurna yang dapat diambil dek kerana kelam-kabut untuk menguruskan si kecil dan bergegas ke pusara Papa tercinta di pagi Syawal. Maaf Darius, Daddy pinjam butang baju melayu sebab Daddy lupa mana Daddy letak butang baju melayu Daddy. Kesian, nampak sangat selekehnya anak Daddy nih. InsyaAllah, masa Aidiladha nanti dapatlah kiranya bergambar sekeluarga. Syukur, kedua-dua Mama masih sihat meraikan Aidilfitri kali ini. Terima kasih tidak terhingga kepada abang sulung atas pemberiannya. Saya amat-amat menghargai.
Diteruskan dengan pengumuman persaraan PM Abdullah Mac 2009 nanti. Syukurlah, setidak-tidaknya, suara hati rakyat & akar umbi UMNO telah didengari. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada PM Abdullah. Jasa tetap tidak akan dilupakan. Najib sebagai PM yang baru?...Secara peribadi, tidak dapat saya setuju. Namun, biarlah orang UMNO sendiri yang memilih siapa yang layak teraju sebagai Presiden.
Datuk Shahrukh Khan??.. Hmmm... apa nak jadi dengan TYT Melaka nih. Tidak malu saya katakan saya juga peminat "Datuk" Shahrukh Khan yang setia. Zaman saya bercinta dengan isteri tercinta dulu-dulu pun dihiasi dengan filem-filem dan lagu-lagu Bollywood Shahrukh Khan khususnya.Tapi , tidaklah sampai saya mahu beri darjah kebesaran kepada beliau sekiranya saya punyai kapasiti untuk berbuat sedemikian. Biarlah, apa jua rasional yang diberikan untuk menghalalkan pemberian darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Shahrukh Khan tetap tidak dapat diterima oleh akal rakyat Malaysia yang waras. Sumbangan ekonomi? Fikirlah sendiri... Pelancongan? Jauh panggang dari api rasanya.. Persepsi sebegini yang perlu disanggah. Kita, orang Malaysia cukup terhegeh-hegeh dengan bintang Bollywood. Sudah lupakah dengan sikap kurang sopan mereka tatkala dua kali mengadakan acara "Award" (lupa nama penuh sambutan award yang dilakukan) di Malaysia?
Dan yang akhir, saya kelu tatkala mengetahui Mufti Perlis akan menamatkan kontrak sebagai Mufti pada Disember ini. Sungguh, Dr. Asri telah menyemarakkan budaya menilai dan mengkaji sebagai hujah dalam pencarian. Kesarjanaan. Itulah ungkapan Dr. Asri yang menarik hati & sanubari saya untuk mengkaji. Moga Allah sentiasa merahmati Dr. Asri. Meski, jawatan bukan suatu yang penting. Namun, adakalanya jawatan memudahkan untuk menyampaikan.
Khamis, April 17, 2008
Pengalaman Menginap 'Wild Wild West'

Pada hari ahad lepas, 13hb April 2008, saya, isteri dan si kecil telah menginap di The Majestic Station Hotel Ipoh (hotel murah-murah saja) kerana saya punya satu kes di Mahkamah Tinggi Ipoh pada keesokan harinya. Kedudukan dan jarak hotel yang hanya beberapa meter dari kompleks Mahkamah memudahkan saya untuk hanya berjalan kaki ke Mahkamah. Dengan harga yang boleh tahan - RM68 untuk satu bilik Standard Deluxe, segala kemudahan asas hotel dapat dirasai, tapi tiada siaran Astro dan bangunannya sudah beberapa tahun lamanya. Ada beberapa keuzuran yang perlu dibaiki dan beberapa bahagian yang perlu kepada pembaharuan.


Dibina pada tahun 1917 dan berada di dalam Stesen Keretapi Ipoh, hotel ini bolehlah di anggap sebagai satu monumen sejarah yang patut disenaraikan di dalam senarai bangunan bersejarah yang perlu dikekalkan. Menarik untuk dikongsi, lif di hotel ini adalah lif zaman dulu-dulu, kena tutup pintu luar dulu secara manual, baru boleh lif bergerak ke atas dan bawah.


Dalam lif tersebut, terdapat satu nota peringatan untuk penginap-penginap akan tuanya usia lif ini dan perlu kepada kesabaran untuk menggunakannya. Pengalaman menginap di sini terasa seakan-akan menginap di hotel koboi dalam cerita Wild Wild West dulu-dulu. Yang penting, selesa untuk menginap dan senang untuk pergi ke Mahkamah bagi mana-mana peguam yang perlukan tempat tinggal di Ipoh untuk menghadiri sesi Mahkamah. Tapi, kalau nak rasa lebih selesa, dinasihatkan cari hotel yang lebih sikit sesuai dengan bajet poket anda.




