Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Ahad, April 24, 2011

BICARA TANGGUH KE 26 MEI 2011


Perbicaraan ditangguh 26 Mei


BUKIT MERTAJAM – Perbicaraan kes Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang dituduh menghalang polis dari menjalankan tugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir tahun lalu ditangguhkan kepada 26 Mei.

Majistret, Mohd Azhar Hamzah memutuskan perkara itu selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah semalam berikutan masih berada di Panama bagi menghadiri mesyuarat Kesatuan Parlimen dan Perhubungan Antarabangsa yang berlangsung pada 15 hingga 20 April.

Peguam bela, Saiful Ambar Abdullah Ambar menyerahkan surat yang difakskan kepadanya oleh jabatan protokol Parlimen kepada mahkamah sebagai bukti ketidakhadiran tertuduh.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya masih berada di Panama walaupun mesyuarat itu telah tamat atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun tertuduh tidak hadir ke mahkamah hari ini, pihak peguam bela telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes. Bagaimanapun, pihak pendakwa raya meminta ia ditangguhkan,” katanya.

Beliau pada awalnya menegaskan kepada mahkamah untuk meneruskan perbicaraan yang mana Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah menerangkan bahawa perbicaraan masih boleh diteruskan walaupun tanpa kehadiran tertuduh dan hanya peguamnya sahaja yang hadir.

Begitu pun, Timbalan Pendakwa raya, Azhar Mokhtar meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan berikutan dua saksi yang dipanggil, Pegawai Penyiasat, Inspektor Zainal Buang tidak dapat hadir kerana berada di Sarawak berikutan pilihan raya.

Manakala, mangsa, Sub Inspektor M Karunamuthi berada di Timor Leste atas tuntutan kerja.

Terdahulu, Gobalakrishnan didakwa menghalang pegawai polis, M Karunamuthi daripada menjalankan tugasnya pada ketika hari penamaan calon Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pasir 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam pada 17 Ogos 2009.

-Sumber: SINAR HARIAN 23 APRIL 2011-

Jumaat, Januari 29, 2010

SUATU ISU YANG "NON-ISSUE"

(Catitan ini ditulis sebagai lontaran peribadi bagi berkongsi pendapat mengenai isu “Allah” yang pada mulanya penulis enggan untuk memberi sebarang komen, namun perkembangan mutakhir ini – merujuk kepada serangan rumah-rumah ibadat termasuk yang terbaru kepala khinzir dilontarkan ke dalam masjid, maka amat perlu rasanya dinyatakan di sini)


Petang tadi setelah selesai tidurkan Darius dan menyediakan makanan untuk “dinner”, maka saya mengisi masa dengan membelek terjemahan Quran yang sudah lama dalam koleksi saya sejak 1994 - “The Quran” oleh Dr. T.B Irving (Al-Hajj Ta’lim Ali) yang pada asalnya untuk memahami 5:4 iaitu berkenaan dengan akhir wahyu yang diturunkan secara kronologi membawa maksud pengakhiran tugas Muhammad sebagai Rasul.

Inisiatif untuk memahami bahawa Allah telah sempurnakan agama kita untuk kita , mencukupkan rahmat-Nya atas kita dan redha Islam sebagai agama kita. Dalam kalimat “sempurna” – “ akmaltu” dari kata akar “kamil”.

Saya terfikir sejenak betapa sebenarnya telah sempurna Islam itu dengan turunnya Quran tanpa perlu lagi kepada pemahaman-pemahaman dan interpretasi keagamaan oleh mana-mana individu sekalipun. Sebab itu makin kucar-kacir pemikiran umat Islam apabila banyak sangat rujukan-rujukan kepada selain dari Quran. Dan banyak pula individu-individu mahupun kumpulan tampil dengan pandangan mereka sendiri berkenaan dengan apa itu Islam dan intipati-intipatinya menurut kacamata mereka bukan kacamata Quran.

Tapi bukan itu yang hendak dikongsikan di sini. Nanti akan dibicarakan dalam coretan yang lain. Lantas saya membandingkan dengan terjemahan bahasa Melayu “Al-Quranul Karim – Terjemahan alih bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)1992 [ Buku ini diterjemahkan dari “The Meaning of THE HOLY QURAN” oleh Abdullah Yusuf Ali ] untuk melihat kupasan kalimat “akmaltu” itu. Atas izin Allah (mungkin juga sengaja Allah tunjukkan), saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsikan di sini dan menguatkan lagi hujah saya sebelum ini bahawa isu Allah yang kian memuncak akhir ini sebenarnya “a non-issue”.

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady – seorang alimun yang tidak asing lagi di Malaysia telah menterjemahkan THE HOLY QURAN, terjemahan oleh Abdullah Yusuf Ali (yang dianggap oleh Dr. Muhammad Uthman sebagai tafsir terbesar dan terbaik dalam bahasa Inggeris) ke dalam bahasa Melayu. Apa yang menarik perhatian saya adalah pada terjemahan nota kaki yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali pada nota kaki no.786 berkenaan ayat 5:78. Saya lampirkan di bawah ini nota kaki tersebut dalam kedua-dua terjemahan yang dapat saya bandingkan:

786. The Psalms of David have several passages of imprecations against the wicked. Cf. Psalms cix 17:18; lxxviii. 21-22 (“Therefore the Lord heard this and was wroth: so a fire was kindled against Jacob, and anger also came up against Israel; because they believed not in God, and trusted not in His salvation”); Psalms lxix. 22-28, and Psalms v.10.

* THE HOLY QURAN – Abdullah Yusuf Ali : m/s 273

786. Dalam Zabur Nabi Daud a.s. ada beberapa ayat yang mencela mereka yang jahat dan zalim. Bandingkan dengan Psalms cix. 17-18; lxxviii. 21-22. (Oleh itu Tuhan mendengar perkara ini dan Ia Murka: maka api pun dinyalakan untuk Ya’qub, dan Murka datang juga terhadapa Isra’il; kerana mereka tidak beriman terhadap Allah dan tidak yakin tentang Keselamatan yang dikurniakannya.” Psalms lxix. 22-28, dan Psalms, v. 10.

*Al-Quranul Karim – oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady,edisi terjemahan ke bahasa melayu; Jilid 1 m/s 512 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1992.

Abdullah Yusuf Ali merujuk kepada ayat di dalam Bible iaitu Perjanjian Lama pada Psalms 78: 21-22. Yang menariknya Dr. Muhammad Uthman telah menterjemahkan God kepada Allah. Tidak pula dinyatakan rujukan oleh Dr. Muhammad Uthman ketika memetik ayat seperti di atas melainkan menterjemahkannya bulat-bulat. Saya yakin dan percaya bahawa terjemahan ini dipilih atas keilmuan Dr. dalam memahami konteks ayat tersebut di atas dan istilah yang paling tepat adalah Allah.

Saya bentangkan di bawah ini petikan ayat tersebut di atas daripada THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition dan ALKITAB – iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dalam terjemahan baru, yang diselenggarakan oleh Lembaga AlKitab Indonesia , 1987 – kedua-duanya telah lama saya miliki sejak dari tahun 1994:-

When the LORD heard them, he was very angry; his fire broke out against Jacob, and his wrath rose against Israel, for they did not believe in God or trust in his deliverance.” Psalms 78:21-22.

*THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition.

“Sebab itu, ketika mendengar hal itu, TUHAN gemas, api menyala menimpa Yakub, bahkan murka bergelojak menimpa Israel, sebab mereka tidak percaya kepada Allah, dan tidak yakin akan keselamatan dari padaNya.” Mazmur 78: 21-22.

* ALKITAB – 1987.

Sekadar ringkasan kepada hujah saya sebelum ini – telah banyak diutarakan, jadi biar disimpulkan di sini sahaja, bahawa bahasa Ibrani (Hebrew), bahasa Aramaic (bahasa pertuturan Isa Al-Masih dan seluruh kaum Yahudi di kawasan Judea ketika hayatnya) dan bahasa Arab berkongsi kata akar yang sama.

Elohim, Eli, Eloi berkongsi kata akar dengan Ilah dalam bahasa Arab membawa maksud God. Kalimah Allah berasal daripada Al-Ilah yang bermaksud “The God”. Oleh kerana tiada partikel “The” di dalam bahasa Melayu maka dikekalkan kalimah Allah merujuk kepada God.

Istilah Elohim (bahasa Ibrani/Hebrew) sebagai contoh dalam Exodus 3:4 (Keluaran 3:4), istilah Eli atau Eloi (bahasa Aramaic) dalam Matthew 27:46 dan Mark 15:34.

Tidak perlu kepada emosi meluap-luap tanpa sandaran hujah dan tidak perlu kepada penjelasan bahawa akan wujudnya kontroversi dalam penggunaan istilah Allah kepada terjemahan God kerana sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa Allah itu tetap Satu. Jangan mudah jadikan diri kita ini dangkal dan jumud dalam pemikiran yang akhirnya membiarkan emosi menguasai segalanya tanpa ada rasional. Tidak perlu fatwa untuk membenar atau melarangnya. Sebab itu saya nyatakan bahawa isu ‘Allah’ ini sebenarnya tiada isu.

“Segala Puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.” Q 1:2

Isnin, September 07, 2009

Lihat & Terjemahkan Sendiri Kebiadaban Mereka Ini





Tindakan dan ucapan mereka ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Tapi tiada apa-apa yang berlaku. Seakan 'double standard' yang diamalkan. Sekiranya mereka ini adalah dari kalangan Pakatan Rakyat, sudah pasti dengan segera beberapa unit FRU sudah bersedia untuk mengambil tindakan dan sudah pasti akan ada tangkapan yang berlaku. Lihat pada sidang DUN Perak, ahli-ahli wakil rakyat dinafikan hak untuk masuk ke bangunan DUN, 'innocent bystander' yang hanya pakai lilit kepala atau baju hitam tempohari terus ditangkap. Pihak berkenaan mesti mengamalkan 'impartiality'.. dan seperti 'justice', "impartiality not only been done, but must seen to be done".

*Terkini: Peguam Negara telah memaklumkan bahawa mereka yang terlibat ini seramai 12 orang (sedangkan yang hadir dikatakan 50 orang) akan dituduh di bawah Akta Hasutan & Kanun Keseksaan. Polis Selangor telah pun menangkap 4 orang yang terlibat serta "menyeru" baki 8 suspek untuk tampil menyerah diri. - Sepatutnya ditangkap ketika sedang berdemo tempohari, bukannya sudah berlalu beberapa hari baru hendak menyeru untuk tampil kehadapan.

Harus diberi sedikit penghargaan kerana bertindak meski mungkin akibat desakan umum atau mungkin juga Kerajaan ingin menjaga imej sementelah PRK Bagan Pinang menyusul.

Khamis, Ogos 13, 2009

Takziah buat keluarga Asri Ibrahim

Sementara sedang bersiap-siap untuk menghadiri dua kes pelaksanaan mahkamah, saya mendengar DJ Sinar, Abby Fana memaklumkan Asri Ibrahim, ketua kumpulan nasyid Rabbani telah meninggal dunia pada pukul 11 pagi ketika sedang membuat persembahan di RTM. Terkejut sebentar. Namun hati terus membisik bahawa kita juga akan pergi menemui Pencipta pada bila-bila masa dijemputNya. Agak terkesan, bukan kerana Allahyarham ada pertalian saudara keturunan tetapi lebih kepada kenangan-kenangan nostalgik sewaktu di persekolahan. Mula mengenali Allahyarham dan nasyid ketika zaman persekolahan di kampus kecil Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahbudin. Di waktu itu, kumpulan nasyid nadamurni terbitan OVA production - anak syarikat Al Arqam - menjadi pencetus baru kepada muzik nasyid dengan di akhiri kumpulan The Zikr, kumpulan baru yang dikeluarkan oleh Al Arqam sebelum diharamkan oleh Kerajaan Malaysia. Rahmat daripada pengharaman ini, kumpulan nasyid yang dipelopori oleh bekas-bekas ahli Arqam ini bercambah dengan pantas di persada seni. Dimulai dengan Raihan (asal kumpulan The Zikr), Hijjaz dan Rabbani dan diikuti oleh pelbagai kumpulan nasyid yang lain. Pun begitu, segala memori mendengar dan menyanyikan lagu-lagu nasyid sewaktu d sekolah sentiasa tersimpan kemas dalam ingatan. Semoga keluarga Sdr. Asri Ibrahim sabar dalam menghadapi ujian dari Ilahi. Takziah sekali lagi.

Selasa, Julai 14, 2009

Menang .. tipis!

Sah.. calon PAS mengalahkan calon BN dengan majoriti yang sangat tipis - 65 undi. Tahniah buat YB baru DUN N41 Manik Urai. Tahniah juga buat petugas kedua-dua parti yang bertanding atas usaha gigih mereka meski berlaku sedikit insiden yang kurang menyenangkan ketika sesi pembuangan undi pagi tadi. Apa pun, bagi PAS, mereka tidak boleh mendabik dada mengisytihar tiadalah mampu BN merampas / menerobos tempat mereka kerana kelebihan 65 undi membayangkan apa kehendak rakyat tempatan di sana. PAS mesti cepat melakukan sesuatu bagi memenangi hati seluruh penduduk tempatan Manik Urai daripada terus berpolemik dan retorik. Mungkin, pada pandangan peribadi saya sahaja, isu dalaman PAS (perselisihan pimpinan atasan dengan Mursyidul Am dan isu antara rakan parti dalam Pakatan Rakyat menyumbang ke arah berlakunya pemolakan rakyat tempatan melalui pembuangan undi. Mungkin juga penduduk tempatan di sana benar-benar memerlukan bantuan pembanguan dan segala kemudahan infrastruktur. YB Abe Uji mesti bijak mengorak langkah untuk bekerja dan berkhidmat untuk semua penduduk Manik Urai tidak kira samada mereka mengundi Abe Uji atau tidak. Yang penting, jangan menghukum pengundi yang tidak menyokong PAS. Santuni mereka...mudah-mudahan PAS dapat mengekalkan kerusi DUN N.41 Manik Urai pada pilihanraya yang mendatang.


*Catitan dimuatnaik melalui Ipod Touch ketika sedang baring di sebelah playpen Darius sambil-sambil menidurkannya.

Manik Urai

Tak berkesempatan sangat untuk mengikuti perkembangan pilihanraya Manik Urai. Namun, saya sempat meneliti kenyataan TPM yang disiarkan di kaca tv semalam..yang sudah pastinya membuat saya menggeleng kepala seketika.. kenyataan berupa suatu ugutan / tekanan tersebut adalah suatu yang tidak wajar dilontarkan. Jambatan yang akan menghubungkan Manik Urai dengan satu daerah lain hanya akan dibina sekiranya mereka menang .. tapi sebaliknya sekiranya kalah. Situasi ini tidak wajar sama sekali bahkan amat memalukan bagi mereka ini seolah-olah tiada cara lain untuk meraih undi / melaksanakan agenda menerangkan kenapa sepatutnya mereka dipilih, bukan dengan cara mengugut, menekan sedemikian rupa.

Timbul satu persepsi. Apakah rakyat sudah tidak lagi punyai pilihan untuk diri mereka sendiri?.. tidak bolehkah mereka menggunakan hak mereka dalam erti kata demokrasi dalam memilih siapa yang patut berkhidmat untuk mereka?.. apakah sekiranya mereka2 ini terpilih nanti, akan terlaksana semua janji2 yang seperti lazimnya setiap kali pilihanraya baik kecil mahupun umum.?? apakah persoalan wang (baik dari sudut mana pun dan dalam bentuk mana pun ianya diterjemah - peruntukan pembangunan, projek-projek baikpulih, penambahbaikan, pembinaan infrastruktur awam (yg sudah semestinya menjadi kewajipan mana-mana pemerintah)tetap menjadi mainan mereka?

Pendekatan menghukum ini dilihat semakin kronik sedari PRU yang lepas..diimbas kembali contoh kenyataan pemimpin P. Pinang mereka (seperti yang telah saya catitkan dahulu) yang memberi kenyataan supaya ditarik balik segala peruntukan projek pembangunan oleh Kerajaan Pusat untuk P.Pinang setelah majoriti rakyat menolak mereka di sana..

Sekarang terpulang kepada rakyat Manik Urai.. dalam erti kata sebenar hanya mereka jualah yang boleh bersuara melalui pembuangan undi.. pilihlah yang terbaik yang mereka rasa bagus untuk berkhidmat bagi mereka..Moga Allah memimpin mereka.

Sabtu, Februari 21, 2009

Kebebasan Mutlak - SPRM, Eli Wong

Bebas ke?... Betul-betul ke bebas?.. Apa benar SPRM itu bebas? Tidak ke sana tidak ke sini?. Sempat saya meniti komen Ketua Pesuruhjaya SPRM sebentar tadi di berita jam 8. Pada hemat saya selaku orang awam, kenyataan-kenyataan yang dipamerkan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin sebuah badan yang dikatakan bebas. Nampak sangat biasnya ke arah yang satu lagi. Yang sebelah sini dikomen habis siap beri keterangan secara fakta lagi mengenai salah laku seorang MB ni. Walhal ini masih dalam siasatan dan cukuplah sekadar beri komen bahawa kes ini akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara. Tak perlu dicerita secara 'detail'. Dan menyentuh aduan ADUN Kulim yang ada melibatkan satu tokoh utama negara dan wang sejumlah juta-juta, dikatanya bahawa tiada susulan oleh ADUN tersebut, maka habis tang situ ja (kata orang kedah). Siapa pun yang meneliti komentar ini tadi pasti nampak dengan jelas. Pulak tu, dengan penuh emosi, dikomen pulak soal politik - kepartian - (yang tidak sepatutnya disentuh).. katanya soal dalaman parti ada masalah, jangan dialih pula isu ini kepada isu SPRM berat sebelah. Maka, persoalan timbul lagi...biar pun telah 'upgrade' menjadi suruhanjaya, bebas ke..?

Dan Eli...bebas ke..? Tidak ke sepatutnya dia punyai ruang yang cukup bebas pabila menyentuh soal kehidupan peribadi? Gambar yang dipaparkan dengan penuh minat di media dan internet .. gambar dia tengah buat sesuatu ke atau tengah tidur..? Jikalau dalam keadaan kita tidur pun , kita pasti hendak tidur dengan bebas.. nak pakai apa ke ..tak nak pakai apa ker....kerana di rumah adalah tempat terakhir kita berlindung..dan Islam sangat-sangat menjaga perihal ini - sebab itu Allah sebut dalam Surah Hujurat 49:12 

"Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Maha Pengasih." 

Istilah Tajasus - mengintip - yang telah banyak para ilmuan memberikan pandangan berdasarkan ayat ini dan juga pernah disentuh oleh Bekas Mufti Perlis mengenai hal ini. Maka berbalik soal Eli, dia diintip - oleh siapa pun tidak kiralah samada kekasih ke siapa ke - yang pasti dia tidak melakukan sebarang pelanggaran kepada mana-mana peruntukan undang-undang di Malaysia ini. Ada pulak yang mengaitkan ini dengan soal moral dan integriti. Dan tidak ketinggalan menyamakan kes Eli ini dengan kes Vijandran dan Chua Soi Lek. Cuba berhenti sekejap dan berfikir. Dua kes ini - dalamnya ada perlakuan seks yang telah dirakam. Kes Eli?. .. tengah tidur ke tengah aktif segar bugar melakukan sesuatu di dalam gambar tersebut?. Amat sempit sekali pendekatan secara ini. Dan yang amat menyedihkan ianya keluar daripada mulut-mulut pemimpin-pemimpin bukannya siapa-siapa yang ada di tepi jalan. Bebas ke?



Isnin, Januari 12, 2009

Catatan Ringkas

Saya tidak berniat untuk menterjemah situasi yang melanda dunia dan tanahair tika dan saat ini - Isu Pergolakan Di Palestin dan PRK Kuala Terengganu - kerana saya percaya ramai bloggers-bloggers yang lain menyentuh isu-isu ini termasuk isu-isu lain. Juga dek kerana kekangan masa dan komitmen terhadap kerjaya, keluarga dan 'trading' membuatkan saya tidak dapat mencoretkan catatan meski banyak yang boleh disentuh mengenai isu di Palestine dan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi. Secara ringkas, apa yang sedang dilakukan oleh Rejim Zionis adalah amat-amat kejam. Masakan anak-anak kecil yang tidak berupaya dan para wanita dijadikan sasaran bedilan egois dan kerakusan mereka. Dan Bush...!!! Tidak serik-serik rentetan daripada peristiwa kasut nyaris terkena muka masih lagi ingin menghabiskan sisa-sisa sebagai Presiden dengan terang-terangan menyokong dan membela Israel. Saya berdoa kepada Allah agar gencatan senjata dapat dilakukan dalam tempoh terdekat ini dan tiada lagi kedengaran anak-anak kecil menjadi mangsa mereka. Sedih dan pilu tatkala menatap dada-dada akhbar  yang terpampang mayat-mayat comel yang tidak berdosa. Juga saya berdoa agar rakyat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat memilih calon terbaik buat mereka. Semoga Pakatan Rakyat mendapat kemenangan.   

Jumaat, Oktober 17, 2008

Catitan Sekali Harung

Atas kesibukan yang menghambat, tidak upaya rasanya untuk menambah ulasan baru sejak beberapa minggu yang lepas. Namun, dengan sedikit ruang yang diberi Allah untuk mencatat, menterjemah situasi yang berlaku sejak akhir-akhir ini serta menilai persepsi dan tugas untuk menyanggah sekiranya punyai kelemahan dan lompong untuk disanggah, saya akan mengulas beberapa perkara sekali harung .

Bermula dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri bagi mereka yang menyambutnya. Tidak terlambat rasanya untuk sama-sama bergembira meraikan perayaan ini. Meski sambutan kali ini agak menghambat saya & keluarga, suasana tetap ceria tambah diraikan dengan ahli keluarga yang baru, sikecil pengarang hati. Cuma ralat, tiada sebarang gambar keluarga yang sempurna yang dapat diambil dek kerana kelam-kabut untuk menguruskan si kecil dan bergegas ke pusara Papa tercinta di pagi Syawal. Maaf Darius, Daddy pinjam butang baju melayu sebab Daddy lupa mana Daddy letak butang baju melayu Daddy. Kesian, nampak sangat selekehnya anak Daddy nih. InsyaAllah, masa Aidiladha nanti dapatlah kiranya bergambar sekeluarga. Syukur, kedua-dua Mama masih sihat meraikan Aidilfitri kali ini. Terima kasih tidak terhingga kepada abang sulung atas pemberiannya. Saya amat-amat menghargai.

Diteruskan dengan pengumuman persaraan PM Abdullah Mac 2009 nanti. Syukurlah, setidak-tidaknya, suara hati rakyat & akar umbi UMNO telah didengari. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada PM Abdullah. Jasa tetap tidak akan dilupakan. Najib sebagai PM yang baru?...Secara peribadi, tidak dapat saya setuju. Namun, biarlah orang UMNO sendiri yang memilih siapa yang layak teraju sebagai Presiden.

Datuk Shahrukh Khan??.. Hmmm... apa nak jadi dengan TYT Melaka nih. Tidak malu saya katakan saya juga peminat "Datuk" Shahrukh Khan yang setia. Zaman saya bercinta dengan isteri tercinta dulu-dulu pun dihiasi dengan filem-filem dan lagu-lagu Bollywood Shahrukh Khan khususnya.Tapi , tidaklah sampai saya mahu beri darjah kebesaran kepada beliau sekiranya saya punyai kapasiti untuk berbuat sedemikian. Biarlah, apa jua rasional yang diberikan untuk menghalalkan pemberian darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Shahrukh Khan tetap tidak dapat diterima oleh akal rakyat Malaysia yang waras. Sumbangan ekonomi? Fikirlah sendiri... Pelancongan? Jauh panggang dari api rasanya.. Persepsi sebegini yang perlu disanggah. Kita, orang Malaysia cukup terhegeh-hegeh dengan bintang Bollywood. Sudah lupakah dengan sikap kurang sopan mereka tatkala dua kali mengadakan acara "Award" (lupa nama penuh sambutan award yang dilakukan) di Malaysia?

Dan yang akhir, saya kelu tatkala mengetahui Mufti Perlis akan menamatkan kontrak sebagai Mufti pada Disember ini. Sungguh, Dr. Asri telah menyemarakkan budaya menilai dan mengkaji sebagai hujah dalam pencarian. Kesarjanaan. Itulah ungkapan Dr. Asri yang menarik hati & sanubari saya untuk mengkaji. Moga Allah sentiasa merahmati Dr. Asri. Meski, jawatan bukan suatu yang penting. Namun, adakalanya jawatan memudahkan untuk menyampaikan.

Khamis, Jun 26, 2008

Kesan Domino Kenaikan Harga Petrol

Suasana ekonomi yang tidak menentu akhir-akhir ini mengundang pelbagai kesan rantaian (chain of reaction) terhadap kehidupan rakyat di Malaysia kini. Ditambah lagi dengan kenaikan harga petrol, barangan runcit, tariff eletrik dan pelbagai lagi seolah-olah mendorong kepada kesan inflasi yang mendadak meski ada kawalan oleh pihak yang wewenang.

Keadaan menjadi semakin resah dan membimbangkan apakala kejadian jenayah kian meningkat selari dengan harga petrol. Telah lebih daripada 5 kali (kalau tidak silap) berlakunya kes rompakan terhadap kedai barangan kemas yang membabitkan jumlah barang kemas yang agak besar nilainya baru-baru ini - beberapa minggu selepas diumumkan kenaikan tersebut. Ditambah lagi dengan kejadian curi dalam bangunan terhadap mesin-mesin ATM dengan modus operandi yang tersusun semacam meniru aksi dalam filem membabitkan ribuan ringgit. Lebih membimbangkan, kejadian ini berlaku di tempat-tempat awam yang biasanya dikunjungi oleh ramai orang.

Isu keselamatan rakyat terutama sekali warga emas dan kanak-kanak yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian menjadi fokus utama yang sewajibnya diberi perhatian oleh pihak keselamatan yang sememangnya tugasnya menjaga keselamatan.

Kejadian jenayah ini - yang kebanyakannya melibatkan warga asing- sudah seperti menjadi trend bagi memenuhi desakan hidup akibat daripada kesan ekonomi untuk hidup sehari-hari meski ini bukan alasan untuk berbuat demikian.

Untuk itu, kerajaan harus melihat kesan-kesan ini dan pertimbangan yang sewajarnya mesti diambilkira serta tindakan-tindakan susulan dan satu pelan jalan keluar mesti dirancang dan dilaksana.