(Catitan ini ditulis sebagai lontaran peribadi bagi berkongsi pendapat mengenai isu “Allah” yang pada mulanya penulis enggan untuk memberi sebarang komen, namun perkembangan mutakhir ini – merujuk kepada serangan rumah-rumah ibadat termasuk yang terbaru kepala khinzir dilontarkan ke dalam masjid, maka amat perlu rasanya dinyatakan di sini)
Petang tadi setelah selesai tidurkan Darius dan menyediakan makanan untuk “dinner”, maka saya mengisi masa dengan membelek terjemahan Quran yang sudah lama dalam koleksi saya sejak 1994 - “The Quran” oleh Dr. T.B Irving (Al-Hajj Ta’lim Ali) yang pada asalnya untuk memahami 5:4 iaitu berkenaan dengan akhir wahyu yang diturunkan secara kronologi membawa maksud pengakhiran tugas Muhammad sebagai Rasul.
Inisiatif untuk memahami bahawa Allah telah sempurnakan agama kita untuk kita , mencukupkan rahmat-Nya atas kita dan redha Islam sebagai agama kita. Dalam kalimat “sempurna” – “ akmaltu” dari kata akar “kamil”.
Saya terfikir sejenak betapa sebenarnya telah sempurna Islam itu dengan turunnya Quran tanpa perlu lagi kepada pemahaman-pemahaman dan interpretasi keagamaan oleh mana-mana individu sekalipun. Sebab itu makin kucar-kacir pemikiran umat Islam apabila banyak sangat rujukan-rujukan kepada selain dari Quran. Dan banyak pula individu-individu mahupun kumpulan tampil dengan pandangan mereka sendiri berkenaan dengan apa itu Islam dan intipati-intipatinya menurut kacamata mereka bukan kacamata Quran.
Tapi bukan itu yang hendak dikongsikan di sini. Nanti akan dibicarakan dalam coretan yang lain. Lantas saya membandingkan dengan terjemahan bahasa Melayu – “Al-Quranul Karim – Terjemahan alih bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)1992 [ Buku ini diterjemahkan dari “The Meaning of THE HOLY QURAN” oleh Abdullah Yusuf Ali ] untuk melihat kupasan kalimat “akmaltu” itu. Atas izin Allah (mungkin juga sengaja Allah tunjukkan), saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsikan di sini dan menguatkan lagi hujah saya sebelum ini bahawa isu Allah yang kian memuncak akhir ini sebenarnya “a non-issue”.
Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady – seorang alimun yang tidak asing lagi di Malaysia telah menterjemahkan THE HOLY QURAN, terjemahan oleh Abdullah Yusuf Ali (yang dianggap oleh Dr. Muhammad Uthman sebagai tafsir terbesar dan terbaik dalam bahasa Inggeris) ke dalam bahasa Melayu. Apa yang menarik perhatian saya adalah pada terjemahan nota kaki yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali pada nota kaki no.786 berkenaan ayat 5:78. Saya lampirkan di bawah ini nota kaki tersebut dalam kedua-dua terjemahan yang dapat saya bandingkan:
786. The Psalms of David have several passages of imprecations against the wicked. Cf. Psalms cix 17:18; lxxviii. 21-22 (“Therefore the Lord heard this and was wroth: so a fire was kindled against Jacob, and anger also came up against Israel; because they believed not in God, and trusted not in His salvation”); Psalms lxix. 22-28, and Psalms v.10.
* THE HOLY QURAN – Abdullah Yusuf Ali : m/s 273
786. Dalam Zabur Nabi Daud a.s. ada beberapa ayat yang mencela mereka yang jahat dan zalim. Bandingkan dengan Psalms cix. 17-18; lxxviii. 21-22. (Oleh itu Tuhan mendengar perkara ini dan Ia Murka: maka api pun dinyalakan untuk Ya’qub, dan Murka datang juga terhadapa Isra’il; kerana mereka tidak beriman terhadap Allah dan tidak yakin tentang Keselamatan yang dikurniakannya.” Psalms lxix. 22-28, dan Psalms, v. 10.
*Al-Quranul Karim – oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady,edisi terjemahan ke bahasa melayu; Jilid 1 m/s 512 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1992.
Abdullah Yusuf Ali merujuk kepada ayat di dalam Bible iaitu Perjanjian Lama pada Psalms 78: 21-22. Yang menariknya Dr. Muhammad Uthman telah menterjemahkan God kepada Allah. Tidak pula dinyatakan rujukan oleh Dr. Muhammad Uthman ketika memetik ayat seperti di atas melainkan menterjemahkannya bulat-bulat. Saya yakin dan percaya bahawa terjemahan ini dipilih atas keilmuan Dr. dalam memahami konteks ayat tersebut di atas dan istilah yang paling tepat adalah Allah.
Saya bentangkan di bawah ini petikan ayat tersebut di atas daripada THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition dan ALKITAB – iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dalam terjemahan baru, yang diselenggarakan oleh Lembaga AlKitab Indonesia , 1987 – kedua-duanya telah lama saya miliki sejak dari tahun 1994:-
“When the LORD heard them, he was very angry; his fire broke out against Jacob, and his wrath rose against Israel, for they did not believe in God or trust in his deliverance.” Psalms 78:21-22.
*THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition.
“Sebab itu, ketika mendengar hal itu, TUHAN gemas, api menyala menimpa Yakub, bahkan murka bergelojak menimpa Israel, sebab mereka tidak percaya kepada Allah, dan tidak yakin akan keselamatan dari padaNya.” Mazmur 78: 21-22.
* ALKITAB – 1987.
Sekadar ringkasan kepada hujah saya sebelum ini – telah banyak diutarakan, jadi biar disimpulkan di sini sahaja, bahawa bahasa Ibrani (Hebrew), bahasa Aramaic (bahasa pertuturan Isa Al-Masih dan seluruh kaum Yahudi di kawasan Judea ketika hayatnya) dan bahasa Arab berkongsi kata akar yang sama.
Elohim, Eli, Eloi berkongsi kata akar dengan Ilah dalam bahasa Arab membawa maksud God. Kalimah Allah berasal daripada Al-Ilah yang bermaksud “The God”. Oleh kerana tiada partikel “The” di dalam bahasa Melayu maka dikekalkan kalimah Allah merujuk kepada God.
Istilah Elohim (bahasa Ibrani/Hebrew) sebagai contoh dalam Exodus 3:4 (Keluaran 3:4), istilah Eli atau Eloi (bahasa Aramaic) dalam Matthew 27:46 dan Mark 15:34.
Tidak perlu kepada emosi meluap-luap tanpa sandaran hujah dan tidak perlu kepada penjelasan bahawa akan wujudnya kontroversi dalam penggunaan istilah Allah kepada terjemahan God kerana sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa Allah itu tetap Satu. Jangan mudah jadikan diri kita ini dangkal dan jumud dalam pemikiran yang akhirnya membiarkan emosi menguasai segalanya tanpa ada rasional. Tidak perlu fatwa untuk membenar atau melarangnya. Sebab itu saya nyatakan bahawa isu ‘Allah’ ini sebenarnya tiada isu.
“Segala Puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.” Q 1:2
Tiada ulasan:
Catat Ulasan