Isnin, Januari 12, 2009

12 JAN 2009 - Darius Dah Setahun.

Tepat jam 3.31 pagi 12 Januari 2009, genap setahun usia Darius. Alhamdulillah, syukur di rafa’kan ke hadrat Ilahi kerana sikecil yang disayangi telah pun genap setahun membesar. Sepanjang tempoh ini, pelbagai suka dan duka, penat-lelah yang telah ditempuhi. Namun segalanya ditelan bulat-bulat demi memastikan anak yang disayangi membesar dengan sempurna.

Sepanjang setahun ini jugalah saya dan isteri menjaga sendiri Darius tanpa pembantu rumah atau hantar ke nursery. Memang agak sukar pada mulanya memandangkan kami berdua bekerja menguruskan firma guaman kami sendiri. Syukur, Allah masih memberikan ruang masa untuk kami melakukannya. Saya amat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh isteri tercinta sepanjang tempoh ini bersama-sama saya.

Kronologi Detik Kelahiran Carshief Darius Ambar:

Tarikh asal jangkaan kelahiran sikecil ini ialah pada 2 Januari 2008. Mungkin kerana masih ingin berada di dalam perut Mummynya maka selepas ‘check-up’ dibuat, Dr. Koh memberikan tempoh seminggu lagi untuk ‘due’ dan sekiranya tiada tanda-tanda untuk melahirkan berlaku dalam tempoh ini, maka 9 Januari 2008 kami mesti berada di Wisma Bersalin.

9 Januari 2008, saya, isteri dan ditemani Mama (ibu mertua) hadir ke Wisma Bersalin Chang & Koh, Kulim, Kedah. Setelah ‘check-in (macam hotel lak), kami diberikan penerangan dan menunggu sahaja saat-saat yang dinantikan. (Tapi macam lambat jer). Sehari berlalu tanpa ada apa-apa perkembangan.

Keesokannya tepat jam 3.00 petang 10 Januari 2008, Dr. Koh telah memecahkan air tetuban bagi membolehkan proses kelahiran normal. Tempoh 12 jam diberikan untuk melihat samada perlu dibedah atau boleh melahirkan secara normal dengan harapan bukaan pintu rahim hingga ke 10 inci. Dengan isteri saya yang tidak sempat untuk makan, minum hatta membuang apa-apa yang patut, isteri saya terus terbaring dan tidak dibenarkan pergi ke mana-mana hatta ke tandas sekalipun (dah air tetuban dipecahkan, mana mungkin boleh bergerak ke sana ke mari). Tidak jijik untuk saya katakan bahawa saya yang menguruskan ketika isteri perlu melepaskan ‘hajatnya’.

Dalam tempoh 12 jam ini, bukaan pintu rahim amat perlahan sekali, paling besar pun 4 inci. Dan sepanjang tempoh ini jugalah ‘contraction’ berlaku tanda bahawa proses kelahiran kian hampir. Saya jadi tambah seronok pula melihat graf pada mesin pengukur kadar denyutan nadi isteri dan Darius dalam perut Mummynya dan bagaimana membaca tanda-tanda ‘contraction’ pada graf. Seakan melihat naik turun harga pasaran. Saya tidak dapat melelapkan mata dengan sempurna meski mengantuk yang amat sangat kerana risau akan keadaan isteri. Kami (saya dan Mama) bergilir-gilir untuk menemani  isteri di bilik bersalin.

Tepat jam 3.00 pagi 12 Januari 2008. Setelah tiada tanda-tanda pintu rahim akan buka hingga ke 10 inci, Dr. Koh memutuskan untuk membedah isteri bagi mengeluarkan Darius yang masih lagi ingin terus berada di dalam perut Mummy. “Setengah jam lagi, kita akan mula”, kata Dr. Koh. Isteri kemudian dipindahkan ke Dewan Bedah. Pada ketika ini jugalah, Mama, Kak Be dan Abang Is (Ibu, Kakak dan abang ipar saya) sampai ke Wisma Bersalin ini setelah bertolak dari Kuala Lumpur untuk bersama-sama saya. Setelah mengenakan pakaian untuk masuk ke dewan bedah, saya duduk di sebelah isteri memberikan sokongan dan kata-kata semangat bagi menantikan saat-saat ini.

Jam 3.31 pagi, Darius selamat dikeluarkan secara caesarian dengan tali pusat terbelit dua kali pada lehernya. Itu yang membuatkan Darius tidak dapat turun keluar secara normal. Segalanya dapat saya saksikan namun sayang, saya tidak dibenarkan untuk merakamkan detik-detik penting ini (boleh juga tunjuk kepada Darius bila dia besar nanti).  

Syukur segalanya telah selesai. Bermula pula episod baru dalam hidup saya sebagai bapa. Pada saat pertama menatap wajah Darius setelah dibersihkan dan diletakkan di bawah satu mesin pemanas, dan pada saat itu juga Darius menatap wajah saya, satu perasaan yang amat-amat sukar digambarkan wujud dalam hati ketika itu. Dan sekilas lalu, wajah arwah Papa tersayang tergambar dalam ingatan membuatkan saya bertambah sayu. Dan tatkala menulis catatan ini, perasaan rindu saya terhadap arwah Papa bertambah kuat. Segala kekosongan dan kerinduan yang amat mendalam terhadap arwah Papa masih belum terisi. Begitu juga setiap kali menatap wajah anak kesayangan saya, pasti ingatan dan perasaan rindu terhadap Papa menjelma.

Dan kini, Darius telah pun berusia setahun. Meski hanya boleh menapak dua tiga langkah (bukannya tak boleh jalan, cuma tak nak jalan saja), dia gagahkan juga menapak lebih dari tiga sebelum tidur sebentar tadi. Itu pun setelah dilatih dipimpin berjalan. Dan esok setelah selesai urusan Mahkamah, kami bercadang untuk ‘celebrate’ di luar.   

6 ulasan:

mohsein shariff berkata...

Tahniah bro atas kurniaan Ilahi,
pasti kehadiran darius menguatkan lagi ikatan keluarga.

Kehadiran insan baru dalam keluarga pasti membawa 1000 hikmah and i am still hoping that moment will come for me too. :)

Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata...

Salam bro, terima kasih atas ucapan. Bawa bersabar, aku pun 4 thn lepas kawin baru dpt seorang..insyaAllah, your time will come.. have faith in HIM.

Tanpa Nama berkata...

Rasanya belum terlewat abg arul ucapkan Selamat Hari Lahir kepada anak saudara kesayangan Darius .. Alhamdulillah Syukur Ke Hadrat Tuhan Yang Maha Esa yang masih lagi membenarkan kita melihat anak kita membesar.. apatah lagi mengecapi kehidupan berkeluarga..

rindu terhadap arwah Papa sentiasa ada.. tak pernah lupakan segala jasa dan pengorbanan yang arwah Papa berikan.. doakan semoga arwah Papa ditempatkan dikalangan org2 yang beriman dan dirahmati Allah.. Amin

Amier berkata...

Seronok rasanya bila dah bercahaya mata ni epul. Teringin jugak dihati ni, tapi apakan daya ada misi penting yang perlu disempurnakan dulu. sabar..

Alumni Debat Malaysia berkata...

Epoi,

Aku pun tak ketinggalan mengucapkan tahniah di atas ulangtahun kelahiran anakanda kalian yang telah pun masuk setahun.

Anakanda patik pula dah nak masuk yang ketiga insya Allah pada bulan Julai atau Ogos nanti. Laju sangat lak rasanya. Pada Amir jangan tunggu lama Mir, nanti sejuk lama takut tak boleh panas!!! Heh he he.

Epoi tahniah sekali lagiharap sentiasalah kita berutus khabar.

Sekian dan Wassalam.....

A C O Y

Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata...

Amir: Seronok memang seronok Mir, tapi penat pun ada jugak..but in the end, wajah yang penat boleh tersenyum panjang....bila lagi?..jgn lama-lama.

Acoy: Terima kasih kerana sudi singgah kat blog aku ni dan atas ucapan..Dah nak masuk 3?..laju...memang laju..hehe..
Aku sentiasa boleh dihubungi..teknologi dan dunia maya banyak memudahkan perhubungan.

Salam.