Satu pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama tatkala membeli burger buat lapik perut sementara membuat keputusan di mana hendak berbuka di luar kali ini.
Tuan punya gerai (van yang diubahsuai menjadi gerai bergerak)berumur dalam lingkungan pertengahan 20-an. Namun saya kagum dengan sifat gigih dan rajin anak muda ini (saya pun masih muda juga..hehehe..). Sedikit sebanyak ianya menjadi motivasi kepada saya yang juga bekerja sendiri. Sudah berniaga hampir setahun di situ dan permulaan modal dalam lingkungan RM10k ke atas. Van dibeli RM5000 atas orang (jenis sambung bayar) - van yang baru berusia lebih kurang 3 tahun.
Tatkala orang lain sedang sibuk berbuka dan membuat persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri, beliau masih lagi berniaga tambahan pula tadi hujan agak lebat. "Baju raya pun belum cari lagi bang" katanya. Bila ditanya "tak balik kampung sambut raya ke?" dijawab "pagi raya baru balik Taiping dan sebelah petang pulang semula ke sini untuk berniaga seperti biasa". "Kerja sendiri mana boleh cuti lama-lama, bukan macam orang lain yang bekerja makan gaji" tambahnya lagi. Inilah contoh anak muda Melayu yang punyai perancangan, sifat gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sepatutnya ini dijadikan contoh bagi orang lain. Tiada istilah malas, goyang kaki atau berangan-angan hendak menjadi kaya tanpa usaha. Pahit maung mesti dilalui sebelum menemui kejayaan tidak kira apa jua bidang / kerja yang kita usahakan. Tanpa perlu ungkit hak keistimewaan orang Melayu, peniaga burger muda ini boleh bersyukur dengan apa yang diusahakannya sendiri. Burger dia pun sedap!
Yang menambahkan rasa hormat dan kagum saya kepada peniaga burger ini adalah mengenai perancangannya untuk mencari lori pula selepas ini bagi menjual ikan di siang hari. Siang menjual ikan, malamnya berniaga burger. Sungguh, perbualan singkat dengan peniaga muda ini amat terkesan dalam hati saya dan menambahkan lagi azam saya untuk terus berusaha baik di bidang perundangan mahupun trading yang sedang diusahakan. Moga Allah sama-sama murahkan rezeki kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan