Khamis, Ogos 07, 2008

Episod Telah Bermula

DSAI telah dituduh di mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari pada 26 Jun 2008 (bukankah pada tarikh ini DSAI baru pulang dari Madinah mengerjakan umrah & diundang memberi syarahan serta pada malamnya bersama-sama pimpinan PKR Selangor bermesyuarat? Tidak mengapa, isu alibi ini boleh dibangkitkan oleh panel peguam semasa bicara nanti) dan alhandulillah DSAI dibenarkan diikat jamin dengan bon peribadi berjumlah RM 20,000-00 tanpa penjamin meski peruntukan Seksyen 377C KK tidak membenarkan sebarang jaminan. DSAI hanya perlu bayar sekiranya pada tarikh sebutan akan datang, DSAI tidak hadir ke Mahkamah. Sengaja saya letakkan Seksyen 377C KK kerana dikatakan DSAI meliwat Saiful dengan tanpa kerelaan Saiful. Sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam entri sebelum ini mengenai kesalahan liwat. Tapi di mahkamah tadi, DSAI telah dibacakan pertuduhan di bawah Seksyen 377B KK bererti adanya kerelaan pada pihak Saiful. Makanya, si pengadu juga mesti dituduh di bawah Seksyen ini. Mungkin pihak pendakwaraya agak tergesa-gesa merangka pertuduhan sehinggakan terlupa untuk mengubah Seksyen atau mungkin difikirkan agak payah untuk membuktikan DSAI meliwat Saiful dalam keadaan memaksa.

Namun, ada juga kes-kes di mana jamin tidak dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang seperti kes bunuh Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahkamah tetap memberikan jaminan atas sebab-sebab yang khusus. Di antara alasan-alasan untuk membenarkan jaminan adalah masalah kesihatan, Orang Kena Tuduh (OKT) memberikan kerjasama dengan pihak polis serta tiada sebab untuk melarikan diri, OKT seorang warganegara Malaysia dan tiada sebab untuk keluar negara dan OKT tiada sebab boleh berhubung atau dipercayai boleh mengganggu saksi atau mangsa. Sebagai contoh, kes Balwant Singh, seorang peguam senior yang dituduh di bawah Seksyen 302 KK dahulu. Mahkamah telah membenarkan jaminan atas alasan kesihatan. Banyak lagi kes-kes yang seperti ini wujud. Tetapi, mengapa pada tahun 1999 dulu DSAI tidak dibenarkan diikat jamin. Dari sudut perundangan, ia adalah budi bicara mahkamah. Terpulang kepada seseorang majistret atau hakim untuk membenarkan sebarang jaminan atas alasan-alasan yang kukuh. Namun dari sudut politik, ia semacam suatu tekanan atas DSAI supaya kendur, diam tidak bersuara dan jangan melawan sehingga selesai perbicaraan.

Nampaknya, ramai yang sudah peka akan kesan yang mungkin timbul sekiranya DSAI tidak dibenarkan diikat jamin. Tambahan lagi DSAI akan bertanding di P44 pada 26 Ogos ini nanti. Pun begitu, persoalan sekarang timbul, bagaimana dengan siasatan BPR yang dibuat oleh DSAI terhadap KPN dan Peguam Negara? Belum selesaikah? Kertas Siasatan belum lengkap lagikah? Sedangkan, selang masa laporan Mohd Saiful Bukhari dan laporan DSAI tidak berapa lama. Macam mana yang satu disiasat polis telah lengkap dan satu disiasat BPR belum ke mana-mana?


2 ulasan:

azlishukri berkata...

inilah yang menjadi misteri politik tanah air kita...

Ahmad Fahmi Hanapiah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.