Khamis, Julai 17, 2008

PENAHANAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Sekali lagi, episod sedekad lalu kembali menjelma ruangan politik tanahair yang tercinta. DSAI telah ditahan oleh PDRM atas kapasiti sebagai suspek bagi siasatan kes Seksyen 377A Kanun Keseksaan. Sedekad lalu, pada saat penahanan DSAI, ketika masih menjadi pelajar fakulti undang-undang ITM Shah Alam (ketika itu) dan menjadi Presiden PKPIM-ITM (badan gabungan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Kebangsaan), saya dalam perjalanan pulang ke kampus di Shah Alam melalui jalan ke Seri Perdana - terlihat ramai rakyat Malaysia sedang berarak-protes akan penahanan tersebut sehinggakan FRU melepaskan beberapa gas pemedih mata mengarahkan menyurai. Pedih mata & kerongkong tatkala menghidu asap gas kimia. Mata terasa pedih & tidak dapat dibuka. Motor sudah terhoyong-hayang. Tiada maksud untuk bersama berarak, cuma salah lalu jalan untuk pulang ke kampus.

Kini, apa yang dikhuatirkan, gelombang itu kembali lagi. Pihak PDRM, Kerajaan khususnya patut mengambil iktibar akan peristiwa 1998 dan sudah pasti perkara sebegini tidak wajar berulang kembali. Diharapkan DSAI akan dibebaskan dengan jaminan tidak lama lagi meski Seksyen 377A tidak mewajarkan sebarang jaminan. Sekiranya DSAI tidak dibenarkan sebarang jaminan, maka gelombang rakyat di jalanan menuntut keadilan akan sudah pasti berulang. Biar bijak tindakan kerajaan. Satu persoalan - mengapa ditahan sedangkan persetujuan telah diberikan? Atau adakah ini bertujuan untuk menyekat hasrat DSAI untuk bertanding tidak lama lagi sebagaimana yang diwarwarkan semasa Debat semalam? Banyak persoalan, sama seperti tahun 1998, yang bermain di fikiran pelbagai golongan rakyat yang perlu diselesaikan dengan bijak oleh kerajaan. Apakah mungkin berlaku perubahan apakala mengambil kira kerajaan sekarang ini tidak sama dengan kerajaan yang terdahulu?

Satu persoalan penting yang perlu dijawab - mengapa di saat DSAI ditahan, pada masa yang sama YB Rembau - sapa lagi kalau bukan si menantu - berucap di Parlimen menuntut supaya DSAI memberikan DNA kepada PDRM. Pelik?? Mana tahu ?? Dan yang paling menarik, Rembau di balas dengan garangnya oleh YB DSU Ketua Pembangkang.





Kita pantau perkembangan ini.

Tiada ulasan: