Sabtu, Mac 22, 2008

Taat Kepada Pemimpin - Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

Menarik untuk dikongsi bersama tatkala mendengar Ketua Wanita UMNO memberi ucapan selamat tinggal di kementerian yang sebegitu lama diterajui. Dengan menafikan adanya perasaan tidak puas hati terhadap keputusan YAB PM, beliau menimbulkan persoalan bahawa tiada seorang pun wakil daripada Wanita UMNO dalam barisan Kabinet yang baru. Pelik, bagaimana pula kedudukan Datuk Azalina Othman dalam kabinet? Tidakkah beliau juga mewakili Wanita UMNO walaupun keanggotaan Wanitanya diragui oleh Ketua pergerakan itu sendiri? Tambahan pula, timbul nada seakan-akan mengugut Presiden parti dengan mengingatkan bahawa Wanita UMNO meliputi hampir 50% ahli parti. Sudah pasti ada sesuatu yang menarik bakal terjadi pada sesi pemilihan parti akan datang. Walaubagaimanapun, nada ini senang difahami. Telah begitu lama duduk di kerusi yang empuk di satu-satu kementerian dan tiba-tiba diminta bangun dan pergi - adalah suatu tragedi yang bukan mudah dihadam. Namun, bagi seorang pemimpin yang lama, pasti mengerti akan prerogatif Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan dan dialog ini tidak seharusnya diutarakan. Hatta, adalah menjadi prerogatif YAB PM untuk tidak melantik/mengadakan jawatan Timbalan Perdana Menteri inikan pula tidak melantik satu-satu individu ke jawatan Menteri. Geli hati melihat telatah sidang media kedua oleh mereka ini yang nampak seperti perkumpulan 'makcik-makcik' yang cuba meyembunyikan perasaan kecewa/merajuk meskipun mereka gagal melakukannya. Mereka harus belajar untuk menghayati semula bagaimana untuk taat kepada pemimpin.

Adalah derhaka dan suatu yang menentang adat bagi orang-orang Melayu jika titah Sultan tidak diendahkan bahkan punyai hasrat untuk menentang. Begitu yang berlaku di Terengganu, negeri DYMM Yang Dipertuan Agong apabila calon MB pilihan Istana bukan calon kegemaran ahli-ahli YB DUN. Bagi mereka, hanya DS Idris Jusoh sahaja yang layak dan boleh menjadi MB dan mereka ini sanggup untuk melakukan apa saja dari memulaukan upacara mengangkat sumpah MB baru, meletakkan jawatan hatta sanggup pilih untuk mengadakan pilihanraya DUN semula. Hebat! Saya angkat topi kepada mereka. Kalau dulu DAP pernah memilih untuk memulaukan upacara angkat sumpah MB Perak, dikatanya kurang ajar kepada Istana, maka satu persoalan saya lontarkan - ini apa?Mereka ini, yang berani menghunus keris bersumpah mempertahankan ketuanan Melayu - yang sudah pastinya Ketuanan Melayu perlu dan saling berkait kepada institusi Beraja- sekarang sudah terbalik menentang titah Istana. Kepada mereka ini, Rukunegara yang kedua mesti dihafal kembali, ditulis dan disimpan di dalam dompet buat tatapan setiap hari, moga tidak menjadi rakyat yang dimurkai.

1 ulasan:

ashlar berkata...

mereka adalah golongan yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram...hari ini mereka menghalalkan segala-galanya, yang utama ialah kuasa, dengannya mereka boleh membeli dan menjual termasuklah prinsip dan maruah bangsa...dalam ertikata Kebangsaan Melayu yang sebenar mereka bukanlah Melayu. Melayu bukan pada darah dan keturunan tetapi pada kebudayaannya.