Khamis, Ogos 13, 2009

Takziah buat keluarga Asri Ibrahim

Sementara sedang bersiap-siap untuk menghadiri dua kes pelaksanaan mahkamah, saya mendengar DJ Sinar, Abby Fana memaklumkan Asri Ibrahim, ketua kumpulan nasyid Rabbani telah meninggal dunia pada pukul 11 pagi ketika sedang membuat persembahan di RTM. Terkejut sebentar. Namun hati terus membisik bahawa kita juga akan pergi menemui Pencipta pada bila-bila masa dijemputNya. Agak terkesan, bukan kerana Allahyarham ada pertalian saudara keturunan tetapi lebih kepada kenangan-kenangan nostalgik sewaktu di persekolahan. Mula mengenali Allahyarham dan nasyid ketika zaman persekolahan di kampus kecil Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahbudin. Di waktu itu, kumpulan nasyid nadamurni terbitan OVA production - anak syarikat Al Arqam - menjadi pencetus baru kepada muzik nasyid dengan di akhiri kumpulan The Zikr, kumpulan baru yang dikeluarkan oleh Al Arqam sebelum diharamkan oleh Kerajaan Malaysia. Rahmat daripada pengharaman ini, kumpulan nasyid yang dipelopori oleh bekas-bekas ahli Arqam ini bercambah dengan pantas di persada seni. Dimulai dengan Raihan (asal kumpulan The Zikr), Hijjaz dan Rabbani dan diikuti oleh pelbagai kumpulan nasyid yang lain. Pun begitu, segala memori mendengar dan menyanyikan lagu-lagu nasyid sewaktu d sekolah sentiasa tersimpan kemas dalam ingatan. Semoga keluarga Sdr. Asri Ibrahim sabar dalam menghadapi ujian dari Ilahi. Takziah sekali lagi.