Ahad, April 24, 2011

BICARA TANGGUH KE 26 MEI 2011


Perbicaraan ditangguh 26 Mei


BUKIT MERTAJAM – Perbicaraan kes Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang dituduh menghalang polis dari menjalankan tugas pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pasir tahun lalu ditangguhkan kepada 26 Mei.

Majistret, Mohd Azhar Hamzah memutuskan perkara itu selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah semalam berikutan masih berada di Panama bagi menghadiri mesyuarat Kesatuan Parlimen dan Perhubungan Antarabangsa yang berlangsung pada 15 hingga 20 April.

Peguam bela, Saiful Ambar Abdullah Ambar menyerahkan surat yang difakskan kepadanya oleh jabatan protokol Parlimen kepada mahkamah sebagai bukti ketidakhadiran tertuduh.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya masih berada di Panama walaupun mesyuarat itu telah tamat atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Walaupun tertuduh tidak hadir ke mahkamah hari ini, pihak peguam bela telah bersedia untuk meneruskan perbicaraan kes. Bagaimanapun, pihak pendakwa raya meminta ia ditangguhkan,” katanya.

Beliau pada awalnya menegaskan kepada mahkamah untuk meneruskan perbicaraan yang mana Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah menerangkan bahawa perbicaraan masih boleh diteruskan walaupun tanpa kehadiran tertuduh dan hanya peguamnya sahaja yang hadir.

Begitu pun, Timbalan Pendakwa raya, Azhar Mokhtar meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan berikutan dua saksi yang dipanggil, Pegawai Penyiasat, Inspektor Zainal Buang tidak dapat hadir kerana berada di Sarawak berikutan pilihan raya.

Manakala, mangsa, Sub Inspektor M Karunamuthi berada di Timor Leste atas tuntutan kerja.

Terdahulu, Gobalakrishnan didakwa menghalang pegawai polis, M Karunamuthi daripada menjalankan tugasnya pada ketika hari penamaan calon Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pasir 2009.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam pada 17 Ogos 2009.

-Sumber: SINAR HARIAN 23 APRIL 2011-

Jumaat, Mac 11, 2011

Wednesday Trade On Bearish Breakaway Candle


Shorted eurusd @ 1.3905 on wed - reason: bearish breakaway candle formed on daily & EW corrective wave A is in progress. Last nite exit @ 1.3805 due to volume reading, but premature. 100 pips / 100% profit for my bday present...i guess. More days to go!

Rabu, Julai 14, 2010

Bahaya Lisan & Salah Faham

Lisan - punyai kesan yang amat mendalam. Dari lisan, mudah berlaku perselisihan. Berlakunya pertengkaran, pertelingkahan, pergaduhan ... membawa kepada salah faham yang akhirnya mungkin mengeruhkan perhubungan, ikatan persaudaraan dan mungkin juga bisa mencetuskan peperangan.

Salah faham - juga turut memberi impak besar. Satu salah faham yang kecil mungkin boleh membiak menjadi besar jika disemai dengan benih benci, rasa tergugat, ego dan rendah diri.

Mulai dari lisan dan kemudiannya mewujudkan salah faham seterusnya membentuk satu penilaian si penilai terhadap individu-individu tertentu di depan mata. Being judgmental juga adalah asas kepada polemik ini.

Solution - hanya dengan kasih sayang tidak kira terhadap sesama saudara, pasangan, teman-teman, jiran, majikan, pekerja, kenalan, sahabat handai mahupun sesama rakyat tanpa mengira agama, ras dan warna kulit mampu membuat ikatan bertaut kembali.

Dan ya ... juga perlu kepada jiwa yang besar dan mampu berlapang dada!

Jumaat, Januari 29, 2010

SUATU ISU YANG "NON-ISSUE"

(Catitan ini ditulis sebagai lontaran peribadi bagi berkongsi pendapat mengenai isu “Allah” yang pada mulanya penulis enggan untuk memberi sebarang komen, namun perkembangan mutakhir ini – merujuk kepada serangan rumah-rumah ibadat termasuk yang terbaru kepala khinzir dilontarkan ke dalam masjid, maka amat perlu rasanya dinyatakan di sini)


Petang tadi setelah selesai tidurkan Darius dan menyediakan makanan untuk “dinner”, maka saya mengisi masa dengan membelek terjemahan Quran yang sudah lama dalam koleksi saya sejak 1994 - “The Quran” oleh Dr. T.B Irving (Al-Hajj Ta’lim Ali) yang pada asalnya untuk memahami 5:4 iaitu berkenaan dengan akhir wahyu yang diturunkan secara kronologi membawa maksud pengakhiran tugas Muhammad sebagai Rasul.

Inisiatif untuk memahami bahawa Allah telah sempurnakan agama kita untuk kita , mencukupkan rahmat-Nya atas kita dan redha Islam sebagai agama kita. Dalam kalimat “sempurna” – “ akmaltu” dari kata akar “kamil”.

Saya terfikir sejenak betapa sebenarnya telah sempurna Islam itu dengan turunnya Quran tanpa perlu lagi kepada pemahaman-pemahaman dan interpretasi keagamaan oleh mana-mana individu sekalipun. Sebab itu makin kucar-kacir pemikiran umat Islam apabila banyak sangat rujukan-rujukan kepada selain dari Quran. Dan banyak pula individu-individu mahupun kumpulan tampil dengan pandangan mereka sendiri berkenaan dengan apa itu Islam dan intipati-intipatinya menurut kacamata mereka bukan kacamata Quran.

Tapi bukan itu yang hendak dikongsikan di sini. Nanti akan dibicarakan dalam coretan yang lain. Lantas saya membandingkan dengan terjemahan bahasa Melayu – “Al-Quranul Karim – Terjemahan alih bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP)1992 [ Buku ini diterjemahkan dari “The Meaning of THE HOLY QURAN” oleh Abdullah Yusuf Ali ] untuk melihat kupasan kalimat “akmaltu” itu. Atas izin Allah (mungkin juga sengaja Allah tunjukkan), saya terjumpa sesuatu yang menarik untuk dikongsikan di sini dan menguatkan lagi hujah saya sebelum ini bahawa isu Allah yang kian memuncak akhir ini sebenarnya “a non-issue”.

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady – seorang alimun yang tidak asing lagi di Malaysia telah menterjemahkan THE HOLY QURAN, terjemahan oleh Abdullah Yusuf Ali (yang dianggap oleh Dr. Muhammad Uthman sebagai tafsir terbesar dan terbaik dalam bahasa Inggeris) ke dalam bahasa Melayu. Apa yang menarik perhatian saya adalah pada terjemahan nota kaki yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali pada nota kaki no.786 berkenaan ayat 5:78. Saya lampirkan di bawah ini nota kaki tersebut dalam kedua-dua terjemahan yang dapat saya bandingkan:

786. The Psalms of David have several passages of imprecations against the wicked. Cf. Psalms cix 17:18; lxxviii. 21-22 (“Therefore the Lord heard this and was wroth: so a fire was kindled against Jacob, and anger also came up against Israel; because they believed not in God, and trusted not in His salvation”); Psalms lxix. 22-28, and Psalms v.10.

* THE HOLY QURAN – Abdullah Yusuf Ali : m/s 273

786. Dalam Zabur Nabi Daud a.s. ada beberapa ayat yang mencela mereka yang jahat dan zalim. Bandingkan dengan Psalms cix. 17-18; lxxviii. 21-22. (Oleh itu Tuhan mendengar perkara ini dan Ia Murka: maka api pun dinyalakan untuk Ya’qub, dan Murka datang juga terhadapa Isra’il; kerana mereka tidak beriman terhadap Allah dan tidak yakin tentang Keselamatan yang dikurniakannya.” Psalms lxix. 22-28, dan Psalms, v. 10.

*Al-Quranul Karim – oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady,edisi terjemahan ke bahasa melayu; Jilid 1 m/s 512 terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1992.

Abdullah Yusuf Ali merujuk kepada ayat di dalam Bible iaitu Perjanjian Lama pada Psalms 78: 21-22. Yang menariknya Dr. Muhammad Uthman telah menterjemahkan God kepada Allah. Tidak pula dinyatakan rujukan oleh Dr. Muhammad Uthman ketika memetik ayat seperti di atas melainkan menterjemahkannya bulat-bulat. Saya yakin dan percaya bahawa terjemahan ini dipilih atas keilmuan Dr. dalam memahami konteks ayat tersebut di atas dan istilah yang paling tepat adalah Allah.

Saya bentangkan di bawah ini petikan ayat tersebut di atas daripada THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition dan ALKITAB – iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru dalam terjemahan baru, yang diselenggarakan oleh Lembaga AlKitab Indonesia , 1987 – kedua-duanya telah lama saya miliki sejak dari tahun 1994:-

“When the LORD heard them, he was very angry; his fire broke out against Jacob, and his wrath rose against Israel, for they did not believe in God or trust in his deliverance.” Psalms 78:21-22.

*THE BIBLE – New International Version, 1994 Edition.

“Sebab itu, ketika mendengar hal itu, TUHAN gemas, api menyala menimpa Yakub, bahkan murka bergelojak menimpa Israel, sebab mereka tidak percaya kepada Allah, dan tidak yakin akan keselamatan dari padaNya.” Mazmur 78: 21-22.

* ALKITAB – 1987.

Sekadar ringkasan kepada hujah saya sebelum ini – telah banyak diutarakan, jadi biar disimpulkan di sini sahaja, bahawa bahasa Ibrani (Hebrew), bahasa Aramaic (bahasa pertuturan Isa Al-Masih dan seluruh kaum Yahudi di kawasan Judea ketika hayatnya) dan bahasa Arab berkongsi kata akar yang sama.

Elohim, Eli, Eloi berkongsi kata akar dengan Ilah dalam bahasa Arab membawa maksud God. Kalimah Allah berasal daripada Al-Ilah yang bermaksud “The God”. Oleh kerana tiada partikel “The” di dalam bahasa Melayu maka dikekalkan kalimah Allah merujuk kepada God.

Istilah Elohim (bahasa Ibrani/Hebrew) sebagai contoh dalam Exodus 3:4 (Keluaran 3:4), istilah Eli atau Eloi (bahasa Aramaic) dalam Matthew 27:46 dan Mark 15:34.

Tidak perlu kepada emosi meluap-luap tanpa sandaran hujah dan tidak perlu kepada penjelasan bahawa akan wujudnya kontroversi dalam penggunaan istilah Allah kepada terjemahan God kerana sebagai seorang muslim, kita yakin bahawa Allah itu tetap Satu. Jangan mudah jadikan diri kita ini dangkal dan jumud dalam pemikiran yang akhirnya membiarkan emosi menguasai segalanya tanpa ada rasional. Tidak perlu fatwa untuk membenar atau melarangnya. Sebab itu saya nyatakan bahawa isu ‘Allah’ ini sebenarnya tiada isu.

“Segala Puji bagi Allah, Pemelihara semua alam.” Q 1:2

Selasa, September 22, 2009

Dari minda terus ke jari.

(Tatkala hujan turun dengan lebat di malam yang kelam ini seraya mengelamun sendirian merenung semangat Aidilfitri dan himbauan kepada perkara-perkara silam, maka tangan terus mencapai pda dan mula menaip satu persatu perkataan hingga lengkap sebuah catatan.)

"Ya! Manusia makhluk persepsi", menurut seorang teman. "Kita bukan sahaja perlu menjadi baik bahkan kita juga harus dilihat sebagai baik", tambahnya lagi. Dan atas dasar persepsi, manusia sanggup melakukan apa saja demi mencapai kehendak nafsu & emosi.

Saban waktu kita mendengar kisah-kisah kehidupan manusia yang seakan skrip drama atau mirip sebuah pementasan teater. Cuma bedanya kali ini, watak & jalan ceritanya benar-benar hidup dalam setiap denyutan nadi manusia. Logik, kerana skrip drama & teater diadaptasi daripada cebisan-cebisan hidup sebenar manusia.

Sudah beberapa kali mendengar dan menyaksikan satu biasan kepada apa yang dinamakan persepsi. Kita malu dengan ustaz, ustazah, naqib atau naqibah, rakan taulan serta sahabat seperjuangan dalam jemaah atau usrah kita hatta kepada sesiapa pun yang melihat dan punyai andaian kita ini seakan-akan "alim" andaikata ayah kita senantiasa memakai seluar pendek, ibu serta kakak kita tidak memakai tudung malah kelihatan rambut bukan lagi hitam, abang kita jarang mendirikan solat, adik kita tidak pandai membaca jawi, teman sebilik kita di 'hostel' adalah kaki merapu, isteri kita bukan dari 'golongan satu jemaah' dengan kita serta pelbagai lagi.

Maka akan disuruhlah oleh kita supaya mereka ini melakukan ketaatan dalam beragama apabila wujud situasi berlakunya pertemuan samada dirancang atau tidak. Ayah DISURUH memakai celana panjang, ibu dan kakak tidak ketinggalan DISURUH bertudung, serta merta abang DISURUH solat, adik disuruh diam atau buat-buat tidur, teman sebilik di 'hostel' diminta keluar buat seketika sehingga selesai pertemuan dan isteri, DISURUH berkelakuan seperti mereka yang pernah satu jemaah atau usrah dengan kita baik dari segi percakapan atau lenggok bahasa tubuh yang dipamirkan @ 'demenour'. Disuruh tetapi tidak menjelaskan dengan hujah dan hikmah. Dan ianya bersandarkan ego atau malu atau sebut saja apa jua namanya tapi bukan atas dasar ikhlas.

Ego, tiada lain hanya ego dijadikan alasan untuk menjustifikasikan ketaatan dalam beragama tanpa adanya hujah atau bersandarkan pencetus hidayah / 'guidance trigger'. Sudah semestinya ini suatu pembohongan dalam agama atau 'blasphemy'. Yang sedihnya, kita bangga sekiranya apa yang DISURUH telah dilaksana, bukan melihat dari sudut hak si Khalik (Pencipta) tapi puasnya hati dan ego seorang manusia yang bernama makhluk (ciptaan).

* Catatan dikemaskini melalui pda.
Masih tiada capaian 3g di sini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009.

Isnin, September 21, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sudah masuk raya yang kedua baru sempat 'update' blog. Raya tahun ini giliran di rumah mertua di Kampar, Perak. Raya yang ketiga baru pulang ke Rawang rumah mama. Selamat menyambut Aidilfitri buat semua. Semoga kita dirahmati Allah selalu.

*Catatan dikemaskini melalui pda.
Tiada capaian 3g di sni.

Sabtu, September 19, 2009

Achik's Burger

Satu pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama tatkala membeli burger buat lapik perut sementara membuat keputusan di mana hendak berbuka di luar kali ini.

Tuan punya gerai (van yang diubahsuai menjadi gerai bergerak)berumur dalam lingkungan pertengahan 20-an. Namun saya kagum dengan sifat gigih dan rajin anak muda ini (saya pun masih muda juga..hehehe..). Sedikit sebanyak ianya menjadi motivasi kepada saya yang juga bekerja sendiri. Sudah berniaga hampir setahun di situ dan permulaan modal dalam lingkungan RM10k ke atas. Van dibeli RM5000 atas orang (jenis sambung bayar) - van yang baru berusia lebih kurang 3 tahun.

Tatkala orang lain sedang sibuk berbuka dan membuat persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri, beliau masih lagi berniaga tambahan pula tadi hujan agak lebat. "Baju raya pun belum cari lagi bang" katanya. Bila ditanya "tak balik kampung sambut raya ke?" dijawab "pagi raya baru balik Taiping dan sebelah petang pulang semula ke sini untuk berniaga seperti biasa". "Kerja sendiri mana boleh cuti lama-lama, bukan macam orang lain yang bekerja makan gaji" tambahnya lagi. Inilah contoh anak muda Melayu yang punyai perancangan, sifat gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sepatutnya ini dijadikan contoh bagi orang lain. Tiada istilah malas, goyang kaki atau berangan-angan hendak menjadi kaya tanpa usaha. Pahit maung mesti dilalui sebelum menemui kejayaan tidak kira apa jua bidang / kerja yang kita usahakan. Tanpa perlu ungkit hak keistimewaan orang Melayu, peniaga burger muda ini boleh bersyukur dengan apa yang diusahakannya sendiri. Burger dia pun sedap!

Yang menambahkan rasa hormat dan kagum saya kepada peniaga burger ini adalah mengenai perancangannya untuk mencari lori pula selepas ini bagi menjual ikan di siang hari. Siang menjual ikan, malamnya berniaga burger. Sungguh, perbualan singkat dengan peniaga muda ini amat terkesan dalam hati saya dan menambahkan lagi azam saya untuk terus berusaha baik di bidang perundangan mahupun trading yang sedang diusahakan. Moga Allah sama-sama murahkan rezeki kita.

Isnin, September 14, 2009

Coretan Ringkas

Tatkala sedang melayan Darius sambil cuba untuk menidurkannya, saya fikir elok juga update blog saya. Betapa agak jarang dikemaskini. Pelbagai kekangan menjadi alasan dan adakalanya malas menjadi faktor utama. Malas .. kerana badan terasa letih hampir setiap malam. Hari ni sedari pagi keluar rumah menghadiri kes di mahkamah, di dua lokasi yang berbeza dan jauh jaraknya. Petang baru masuk ke pejabat dan terus menyiapkan segala kerja. Nanti nak cuti raya tak berapa seronok bila memikirkan banyak kerja masih tertangguh. Balik ke rumah tadi dalam sekitar jam 7.10 malam. Terus melayan si kecil ini sementara isteri tercinta menyediakan hidangan berbuka puasa. Ni pun masih terasa penat dan sedang melayan karenah si kecil nih. Semacam menjadi prasyarat, Daddy kena baring di sebelah playpen dia baru boleh dia tidur. Lampu semua dipadamkan dan radio memutarkan lagu kanak-kanak. Ipod touch ini menjadi peneman setia dan banyak kegunaannya. Alat nipis ini memudahkan saya untuk melayari laman web, mengemaskini blog, melayari facebook dan pelbagai lagi tatkala menunggu si kecil melelapkan mata. Sudah ada tanda-tanda akan belayar tidak lama lagi. Sekejap lagi tu, akan tidurlah anak kesayangan.

Oh ya, malam ini masuk malam yang ke 25 ramadhan. Begitu singkat masa berlalu. Ramai yang ternanti-nanti dan mencari-cari malam lailatulqadar di sepuluh malam akhir ini. Tapi yang paling penting untuk kita muhasabah diri tatkala tempoh ramadhan akan berakhir, apakah kita dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh TUHAN iaitu "supaya kamu bertakwa" 2:183

*Catatan dimuat naik melalui Ipod Touch.