Rabu, September 17, 2008

16 September : Suatu Gimik Politik Atau Realiti

16 September telah berlalu dengan tiada apa-apa sebarang perubahan kepada status quo kerajaan BN sedia ada. Sejak sekian lama pelbagai lapisan masyarakat baik di kalangan ahli-ahli parti daripada BN mahupun Pakatan Rakyat sendiri dan juga para penyokong dan simpatisan-simpatisan menunggu dengan penuh minat akan terjadinya perubahan kerajaan sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Anwar Ibrahim.

Namun perubahan yang ditunggu tidak kunjung tiba meski pelbagai penjelasan diberikan dan semacam ada kepercayaan bahawa proses perubahan ini masih berjalan walaupun terlepas dari tarikh akhir yang diumumkan.

Senario ini telah mewujudkan pelbagai keadaan yang kelam-kabut. BN dengan gelabahnya melakukan pelbagai aksi-aksi lawak jenaka bermula dengan peruntukan Bajet 2009 yang terbesar dalam sejarah Malaysia dalam pemberian kebajikan tanpa memfokuskan bagaimana sektor ekonomi boleh berkembang, sampai ke Taiwan 'berjalan mempelajari tanaman orang' dan terbaru, menggunakan ISA terhadap individu-individu yang berkaitan dengan politik sehinggakan timbul percanggahan pendapat di kalangan menteri kabinet dan Perdana Menteri sendiri yang membawa kepada perletakkan jawatan.

Pakatan Rakyat juga ada melakukan aksi-aksi lawak sehingga sanggup terkejar-kejar ke Taiwan mencari mereka yang sedang 'belajar bercucuk tanam' di sana untuk dipujuk dibawa pulang sebagai ahli mereka.

Kesan akibat rancangan perubahan kerajaan ini cukup besar. PM Abdullah tidak senang duduk bahkan mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan melakukan apa sahaja untuk menghalang perubahan kerajaan ini daripada berlaku. Manakala Anwar Ibrahim pula seakan terlalu yakin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6 dalam usaha melengkapkan Teori 'RAHMAN' yang dikemukakan oleh Pak Habib lama dahulu. Kegusaran PM Abdullah ada signifikannya dan keyakinan Anwar Ibrahim juga berpaksi kepada suatu kenyataan. Yang pasti, perubahan kepada kerajaan dan kepimpinan pasti akan berlaku samada perubahan dalaman (yang dilakukan oleh BN sendiri) atau pun datang dari luar oleh Pakatan Rakyat. PM Abdullah selaku Presiden UMNO juga sudah semakin tidak popular dikalangan akar umbi. Anwar Ibrahim pula tercalar sedikit kredibiliti dek kerana 16 September ini. Ketidakyakinan pelbagai pihak baik secara terang-terangan mahupun secara diam dalam dan luar negera terhadap PM Abdullah punyai kesan yang amat mendalam terutama kepada ekonomi Malaysia. Saya mengandaikan, berasaskan analisis sendiri, Indeks Bursa Malaysia akan mencuba paras 1000 mata sebagai paras sokongan dan mungkin juga akan menerobos melepasi hingga ke 990 mata dalam seminggu dua ini. Itu gambaran ketidakyakinan para pelabur dalam dan luar negara terhadap kepimpinan dan pengurusan makroekonomi negara.

Suatu cadangan kepada persepsi-persepsi ini. PM Abdullah segera berundur dan memberi laluan kepada orang lain. Dan keputusan siapa pengganti kepada PM Abdullah hanya boleh dipulangkan kepada akar umbi UMNO. Biar mereka diberi kebebasan untuk menentukan siapa yang layak pada mata & hati mereka untuk mengemudi UMNO membelah badai yang bergelora selepas PRU 12. Tidak semestinya Najib yang layak menjadi Presiden UMNO seterusnya. Banyak lagi pimpinan UMNO yang kanan dan jauh berpengalaman berbanding Najib disamping kurang diselubungi tanggapan negatif .

Kepada Anwar Ibrahim, bukan nasihat tapi sekadar berkongsi peringatan. Syeikh Ibn Ata'illah dalam Kitab Hikam biasa menyebut " Himmah (tekad & cita-cita) yang menggebu tidak dapat menerobos takdir yang telah ditentukan oleh Allah". Kalau sudah ditakdirkan Allah, Datuk Seri akan menjadi PM Malaysia suatu hari nanti, insyaAllah ia akan tetap terjadi. Namun sekiranya tidak pernah tercatat sedemikian dalam Loh Mahfuz, maka adalah lebih baik direncanakan kemasan strategi dan solidariti Pakatan Rakyat untuk mentadbir kelima-lima negeri dengan bijak & amanah serta bersedia untuk menggempur BN dalam PRU 13 empat tahun lagi. Datuk Seri punya banyak ruang dan masa tambahan lagi sebagai Ketua Pembangkang , Datuk Seri punyai peranan besar yang bukan lekeh untuk mempastikan Kerajaan Baru selepas PM Abdullah berlaku adil & amanah. Juga jangan lupa amanah rakyat Permatang Pauh yang telah mengangkat kembali Datuk Seri dalam senario politik Malaysia.

Kepada para penyokong (yang sering juga dilabel pengikut setia yang ta'sub oleh segelintir kawan-kawan dalam UMNO) Pakatan Rakyat khususnya PKR, bertindak waraslah. Jangan mudah goyah pegangan sehingga minda jadi sempit & dangkal. Pun begitu jangan pula terlalu ta'sub (meminjam gelaran mereka) akan pasti perubahan ini berlaku sekelip mata dek kerana angka 31 sudah mencukupi. Biar meneliti dan menerima fakta dan realiti. Biar punyai hujah dan sokongan ilmiah pada setiap ucapan dan tindakan. Jangan main semberono saja. Kita punyai amanah akan setiap pergerakan kita. Kalam kita, milik Tuhan. Suatu peringatan untuk mereka ini,

"Terlambatnya masa pemberian oleh Allah - sesudah berdoa- jangan hendaknya menyebabkan anda berputus asa, kerana Allah SWT telah menanggung terkabulnya doa anda menurut pilihanNya untuk anda bukan menurut apa yang anda pilih untuk diri anda serta pada masa yang Dia kehendaki dan bukan pada masa yang anda inginkan. Belum tertunainya janji Allah - walaupun waktunya telah ditentukan - jangan hendaknya sekali-kali menjadikan anda ragu terhadap janji Allah itu, agar tidak membuatkan cacat penglihatan hati dan memadamkan cahaya hati anda" - Syeikh Ibn Ata'illah , Hikam .

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mcamana nak suruh Anwar Ibrahim memerintah 5 negeri PR? The latest fabrication sodomy charge is being used against him and he can be imprisoned for the trump up charges for the next 10 years. Sbb tula kita kena tukar SEKARANG. Not next year or what..bukan pasal Anwar, pasal SISTEM negara kita yg dah rosak.

Faham?

Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata...

Terima kasih YB atas ulasan.

Jikalau YB membaca dua kali catatan saya, maka YB akan faham makna disebalik gesaan saya. Pasal sodomy charge, saya amat yakin prosecution would have a weak case against him..not to worry, even if there's an evidence, they would struggle to prove beyond reasonable doubt. And further, that is the maximum sentence. Sentencing principle in our judiciary system would not allow maximum imprisonment and 1/3 discount would be a common practice.

Saya setuju dengan YB berkenaan ini bukan soal Anwar. Selama sepuluh tahun bersama gelombang reformasi ini pun bukan kerana Anwar. Saya melihat dari sudut perundangan. Terlalu banyak 'defect' kepada apa yang dipertuduhkan.

Semoga kita diberi hidayah.