Selasa, Ogos 26, 2008

Mubahalah - Satu Tanggapan Salah Masyarakat

Senario semasa kini kian memperkatakan tentang mubahalah (sumpah laknat) rentetan daripada sumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari tempohari. Sana sini ramai orang yang membicarakan soal ini manakala media perdana begitu asyik mengutarakan isu sumpah laknat ini. Sehinggakan ramai pemimpin-pemimpin kini sudah pandai bersumpah dengan menyebut "Wallahi, wabillahi, watallahi".

Ada yang semacam tidak kena berkenaan senario ini. Akibat daripada salah penjelasan atau tidak salah juga sekiranya dikatakan untuk kepentingan politik sesetengah pihak maka isu mubahalah ini semacam menjadi penentu kepada betul atau salahnya seseorang itu berkaitan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Mubahalah, telah disyorkan oleh Sahibus Samahah Dr. Asri, Mufti Perlis atas tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim. Tiada apa yang salah berkenaan syor ini. Namun, apabila Saiful sudah bersumpah, ada di kalangan kita yang terus menerus yakin dan percaya bahawa Saiful berkata benar manakala Anwar Ibrahim berbohong dan pengecut serta mengambil pendekatan takut kerana salah. Walhal, Mufti Perlis juga pernah menyatakan bahawa mubahalah ini hanya untuk menjernihkan keadaaan yang kusut dek kerana tuduhan sebegini tetapi tidak sampai untuk membuktikan yang mana benar dan yang mana salah.

Belum lagi sebarang perbicaraan dijalankan, hanya dengan sumpah, maka segelintir kita yang kononnya bercakap soal kebenaran & iman, telah pun menjatuhkan hukuman ke atas Anwar Ibrahim tanpa mengikut lunas-lunas perundangan Islam & mahkamah jenayah sivil di Malaysia yang segala hak untuk mendapat perbicaraan yang adil termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa ini? Perlu kita soal kembali hati & sanubari sedalamnya, apakah ini wajar? Apakah dengan hanya bersumpah (bermubahalah) maka kita sudah berjaya membuktikan yang kita bercakap benar? Apatah lagi sebenarnya konsep mubahalah itu sendiri disalahtafsir oleh segelintir kita yang berlagak pandai dan hanya mengikut apa yang dikatakan oleh sipolan bin sipolan tambahan lagi sekiranya sipolan itu punyai jawatan yang bersangkutan dalam hal ehwal agama tidak kira apa gelaran yang dipegang samada ustaz, kadhi, imam, mufti, ulama dan sebagainya.

Amat mendukacitakan ada dikalangan kita yang berhujah menggunapakai Fiqh Waqi' atau Fiqah Waqiyyah (Fiqah Realiti Setempat) untuk mewajibkan Anwar Ibrahim turut bersumpah seperti Saiful bagi membuktikan kebenaran. Fiqh Waqi' tidak sampai mewajibkan Anwar untuk bersumpah bahkan juga tidak mewajibkan Saiful untuk bermubahalah. Amat sempit pendekatan seperti ini. Jika sekiranya Fiqh Waqi' dijadikan sandaran maka sudah pastinya keperluan tuduhan liwat Saiful ini dibawa ke mahkamah kedua-duanya syariah & jenayah sivil.

Cuba kita bayangkan sekiranya Anwar Ibrahim itu adik, abang, pakcik, datuk bahkan ayah kita sendiri yang dituduh sedemikian dan pihak yang menuduh bersumpah seadanya maka orang ramai mula menaruh syak bahkan terus menghukum akan salahnya adik, abang, pakcik, datuk atau ayah kita tadi. Bagaimana perasaan kita ketika ini? Mungkin ada yang berkata, "kalau begitu bersumpah jugalah!" Namun bermubahalah dengan tidak memahami apa erti mubahalah yang sebenar akan hanya menambah dangkal bahkan berlaku pembohongan kepada agama sendiri.


Mubahalah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya setelah segala proses menyelesaikan masalah ini telah diambil namun tetap menemui jalan buntu. Kita bandingkan kembali dengan situasi semasa, apakah sudah digunakan segala proses untuk menentukan tuduhan ini wujud atau pun tidak? Pun begitu ramai yang hanya berpandukan kepada ayat 61 Surah Ali-Imran sahaja tanpa melihat kepada konteks keseluruhan asas kepada ayat mubahalah ini.

Ayat mubahalah dalam surah Ali-Imran ini diturunkan khusus kepada Rasulullah SAW untuk berdepan dengan pegangan Nasrani Najran berkenaan status Nabi Isa Alaihisalam. Setelah segala dialog dan hujah diberikan oleh Baginda, Nasrani Najran tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa Isa itu anak Allah. Maka turun ayat yang ke 61 menyuruh Baginda bermubahalah. Jelas, ia soal aqidah. Soal pegangan ketauhidan bahawa Isa itu perumpamaannya sama seperti Adam Alaihisalam. Bukan soal jinayat atau ibadat. Sebelum kita terus pergi ke ayat 61, perlu kita lihat kembali keseluruhan konteks asbabun nuzul ayat ini dengan bermula daripada ayat 58 sehingga 63. Jangan biasa untuk hanya mengambil satu-satu ayat dan terus dijadikan hujah kepada premis kita. Cuba kita renung ayat-ayat ini: -

58:3 " Demikianlah (kisah Isa), Kami bacakan kepada kamu sebahagian daripada bukti-bukti (kerasulannya) dan (membacakan) Al-Quran yang penuh hikmah."

59:3 " Sesungguhnya perumpamaan Isa di sisi Allah, adalah sama seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: "Jadilah"(manusia) maka jadilah dia."

60:3 "(Apa yang telah kami ceritakan itu) itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, kerana itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu."

61:3" Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu) maka katakanlah (kepadanya) : "Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu: kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la'nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta."

62:3" Sesungguhnya ini adalah kisah yang benar, dan tidak ada Tuhan selain Allah; dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

63:3" Kemudian jika mereka berpaling (dari menerima kebenaran) , maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan."

Pensyari’atan Mubahalah disebut di dalam ayat Allah; “Sesiapa membantahmu dalam hal itu (wahai Muhammad) selepas datang kepadamu ilmu, maka katakanlah kepadanya; ‘Marilah! kita ajak anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, kami sendiri dan kamu juga, kemudian kita bermubahalah (yakni saling berdoa bersungguh-sunguh) agar Allah menimpakan laknatNya ke atas orang-orang berdusta” (Ali Imran; 61). Dari ayat di atas disimpulkan bahawa harus berhujjah untuk menegakkan urusan agama, dan sesiapa menentang dan menolak sesuatu dari Syari’at harus kita bermubahalah dengannya sebagaimana mengikuti perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.. (Tafsir al-Qasimi).

Pelbagai kitab tafsir menghuraikan ayat-ayat ini yang ayat 61nya dipanggil ayat mubahalah ini.

Menurut Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Menjadi Sunnah dalam perdebatan dengan golongan kebatilan apabila telah ditegakkan hujjah Allah terhadap mereka, lalu mereka masih enggan kembali (kepada kebenaran) sebaliknya tetap berdegil untuk menentang (kebenaran), hendaklah mereka diajak untuk bermubahalah. Mubahalah itu telah diperintahkan Allah kepada NabiNya dan Allah tidak berkata; “Mubahalah itu khusus untuk kamu sahaja, tidak harus bagi umat kamu”. (Zadul-Ma’ad, 3/643)

Ada di kalangan ulamak menegaskan; tidak harus bermubahalah melainkan dalam urusan yang penting – mengikut Syarak- yang berlaku padanya kesamaran dan pertentangan yang sukar diselesaikan kecual dengan bermubahalah. Disyaratkan terlebih dahulu bagi urusan itu ditegakkan hujjah, dilakukan usaha untuk menghilangkan kekeliruan serta diberikan nasihat dan ancaman (kepada orang yang terlibat). Apabila segalanya tidak mendatangkan manfaat, maka barulah digunakan mubahalah sebagai cara terakhir yang terpaksa dilakukan (yakni darurat). (Tafsir al-Qasimi al-Musamma; Mahasin at-Takwil [Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi]).

Masyarakat Melayu kita khususnya punyai kepercayaan bahawa sekiranya seseorang sanggup bersumpah dengan memegang Al-Quran dan sanggup pula berada di dalam masjid, maka orang itu sudah semestinya bercakap benar. Namun kepercayaan ini mudah disanggah. Lihat sahaja di mana ada orang yang sanggup masuk ke masjid untuk mencuri tabung masjid. Mencuri kasut di masjid bahkan pendedahan Mastika terhadap mereka yang sanggup mengoyak, memijak, buang air kecil hatta melakukan hubungan jenis berlapikkan Al-Quran sebagaimana yang telah dilakukan oleh remaja-remaja Melayu Islam kita beberapa bulan yang lalu.

Dan kita bandingkan pula sumpah itu dengan segala fakta yang bercanggah dan laporan perubatan khususnya mendapati Saiful tidak diliwat sebagaimana catatan saya tempohari. Segala yang berkaitan tuduhan liwat ini seakan ada motif yang amat mendesak untuk menghalang kembalinya karier Anwar Ibrahim dalam politik. Sebab itu sumpah Saiful ini bersifat politik. Apakah sumpah yang bersifat politik ini boleh dihujahkan sebagai mengikut syariat islam? Apakah ia menurut apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dalam ayat yang di atas? Apakah Fiqh Al-Waqi' membenarkan mubahalah atas motif politik ini suatu yang wajib? Apakah dengan bermubahalah akan selesai tuduhan liwat ini? Bagaimana dengan segala proses undang-undang di Malaysia ini?

Tiada ulasan: