Selasa, September 22, 2009

Dari minda terus ke jari.

(Tatkala hujan turun dengan lebat di malam yang kelam ini seraya mengelamun sendirian merenung semangat Aidilfitri dan himbauan kepada perkara-perkara silam, maka tangan terus mencapai pda dan mula menaip satu persatu perkataan hingga lengkap sebuah catatan.)

"Ya! Manusia makhluk persepsi", menurut seorang teman. "Kita bukan sahaja perlu menjadi baik bahkan kita juga harus dilihat sebagai baik", tambahnya lagi. Dan atas dasar persepsi, manusia sanggup melakukan apa saja demi mencapai kehendak nafsu & emosi.

Saban waktu kita mendengar kisah-kisah kehidupan manusia yang seakan skrip drama atau mirip sebuah pementasan teater. Cuma bedanya kali ini, watak & jalan ceritanya benar-benar hidup dalam setiap denyutan nadi manusia. Logik, kerana skrip drama & teater diadaptasi daripada cebisan-cebisan hidup sebenar manusia.

Sudah beberapa kali mendengar dan menyaksikan satu biasan kepada apa yang dinamakan persepsi. Kita malu dengan ustaz, ustazah, naqib atau naqibah, rakan taulan serta sahabat seperjuangan dalam jemaah atau usrah kita hatta kepada sesiapa pun yang melihat dan punyai andaian kita ini seakan-akan "alim" andaikata ayah kita senantiasa memakai seluar pendek, ibu serta kakak kita tidak memakai tudung malah kelihatan rambut bukan lagi hitam, abang kita jarang mendirikan solat, adik kita tidak pandai membaca jawi, teman sebilik kita di 'hostel' adalah kaki merapu, isteri kita bukan dari 'golongan satu jemaah' dengan kita serta pelbagai lagi.

Maka akan disuruhlah oleh kita supaya mereka ini melakukan ketaatan dalam beragama apabila wujud situasi berlakunya pertemuan samada dirancang atau tidak. Ayah DISURUH memakai celana panjang, ibu dan kakak tidak ketinggalan DISURUH bertudung, serta merta abang DISURUH solat, adik disuruh diam atau buat-buat tidur, teman sebilik di 'hostel' diminta keluar buat seketika sehingga selesai pertemuan dan isteri, DISURUH berkelakuan seperti mereka yang pernah satu jemaah atau usrah dengan kita baik dari segi percakapan atau lenggok bahasa tubuh yang dipamirkan @ 'demenour'. Disuruh tetapi tidak menjelaskan dengan hujah dan hikmah. Dan ianya bersandarkan ego atau malu atau sebut saja apa jua namanya tapi bukan atas dasar ikhlas.

Ego, tiada lain hanya ego dijadikan alasan untuk menjustifikasikan ketaatan dalam beragama tanpa adanya hujah atau bersandarkan pencetus hidayah / 'guidance trigger'. Sudah semestinya ini suatu pembohongan dalam agama atau 'blasphemy'. Yang sedihnya, kita bangga sekiranya apa yang DISURUH telah dilaksana, bukan melihat dari sudut hak si Khalik (Pencipta) tapi puasnya hati dan ego seorang manusia yang bernama makhluk (ciptaan).

* Catatan dikemaskini melalui pda.
Masih tiada capaian 3g di sini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 2009.

Isnin, September 21, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sudah masuk raya yang kedua baru sempat 'update' blog. Raya tahun ini giliran di rumah mertua di Kampar, Perak. Raya yang ketiga baru pulang ke Rawang rumah mama. Selamat menyambut Aidilfitri buat semua. Semoga kita dirahmati Allah selalu.

*Catatan dikemaskini melalui pda.
Tiada capaian 3g di sni.

Sabtu, September 19, 2009

Achik's Burger

Satu pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama tatkala membeli burger buat lapik perut sementara membuat keputusan di mana hendak berbuka di luar kali ini.

Tuan punya gerai (van yang diubahsuai menjadi gerai bergerak)berumur dalam lingkungan pertengahan 20-an. Namun saya kagum dengan sifat gigih dan rajin anak muda ini (saya pun masih muda juga..hehehe..). Sedikit sebanyak ianya menjadi motivasi kepada saya yang juga bekerja sendiri. Sudah berniaga hampir setahun di situ dan permulaan modal dalam lingkungan RM10k ke atas. Van dibeli RM5000 atas orang (jenis sambung bayar) - van yang baru berusia lebih kurang 3 tahun.

Tatkala orang lain sedang sibuk berbuka dan membuat persiapan terakhir untuk menyambut Aidilfitri, beliau masih lagi berniaga tambahan pula tadi hujan agak lebat. "Baju raya pun belum cari lagi bang" katanya. Bila ditanya "tak balik kampung sambut raya ke?" dijawab "pagi raya baru balik Taiping dan sebelah petang pulang semula ke sini untuk berniaga seperti biasa". "Kerja sendiri mana boleh cuti lama-lama, bukan macam orang lain yang bekerja makan gaji" tambahnya lagi. Inilah contoh anak muda Melayu yang punyai perancangan, sifat gigih berusaha tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sepatutnya ini dijadikan contoh bagi orang lain. Tiada istilah malas, goyang kaki atau berangan-angan hendak menjadi kaya tanpa usaha. Pahit maung mesti dilalui sebelum menemui kejayaan tidak kira apa jua bidang / kerja yang kita usahakan. Tanpa perlu ungkit hak keistimewaan orang Melayu, peniaga burger muda ini boleh bersyukur dengan apa yang diusahakannya sendiri. Burger dia pun sedap!

Yang menambahkan rasa hormat dan kagum saya kepada peniaga burger ini adalah mengenai perancangannya untuk mencari lori pula selepas ini bagi menjual ikan di siang hari. Siang menjual ikan, malamnya berniaga burger. Sungguh, perbualan singkat dengan peniaga muda ini amat terkesan dalam hati saya dan menambahkan lagi azam saya untuk terus berusaha baik di bidang perundangan mahupun trading yang sedang diusahakan. Moga Allah sama-sama murahkan rezeki kita.

Isnin, September 14, 2009

Coretan Ringkas

Tatkala sedang melayan Darius sambil cuba untuk menidurkannya, saya fikir elok juga update blog saya. Betapa agak jarang dikemaskini. Pelbagai kekangan menjadi alasan dan adakalanya malas menjadi faktor utama. Malas .. kerana badan terasa letih hampir setiap malam. Hari ni sedari pagi keluar rumah menghadiri kes di mahkamah, di dua lokasi yang berbeza dan jauh jaraknya. Petang baru masuk ke pejabat dan terus menyiapkan segala kerja. Nanti nak cuti raya tak berapa seronok bila memikirkan banyak kerja masih tertangguh. Balik ke rumah tadi dalam sekitar jam 7.10 malam. Terus melayan si kecil ini sementara isteri tercinta menyediakan hidangan berbuka puasa. Ni pun masih terasa penat dan sedang melayan karenah si kecil nih. Semacam menjadi prasyarat, Daddy kena baring di sebelah playpen dia baru boleh dia tidur. Lampu semua dipadamkan dan radio memutarkan lagu kanak-kanak. Ipod touch ini menjadi peneman setia dan banyak kegunaannya. Alat nipis ini memudahkan saya untuk melayari laman web, mengemaskini blog, melayari facebook dan pelbagai lagi tatkala menunggu si kecil melelapkan mata. Sudah ada tanda-tanda akan belayar tidak lama lagi. Sekejap lagi tu, akan tidurlah anak kesayangan.

Oh ya, malam ini masuk malam yang ke 25 ramadhan. Begitu singkat masa berlalu. Ramai yang ternanti-nanti dan mencari-cari malam lailatulqadar di sepuluh malam akhir ini. Tapi yang paling penting untuk kita muhasabah diri tatkala tempoh ramadhan akan berakhir, apakah kita dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh TUHAN iaitu "supaya kamu bertakwa" 2:183

*Catatan dimuat naik melalui Ipod Touch.

Isnin, September 07, 2009

Lihat & Terjemahkan Sendiri Kebiadaban Mereka Ini





Tindakan dan ucapan mereka ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Tapi tiada apa-apa yang berlaku. Seakan 'double standard' yang diamalkan. Sekiranya mereka ini adalah dari kalangan Pakatan Rakyat, sudah pasti dengan segera beberapa unit FRU sudah bersedia untuk mengambil tindakan dan sudah pasti akan ada tangkapan yang berlaku. Lihat pada sidang DUN Perak, ahli-ahli wakil rakyat dinafikan hak untuk masuk ke bangunan DUN, 'innocent bystander' yang hanya pakai lilit kepala atau baju hitam tempohari terus ditangkap. Pihak berkenaan mesti mengamalkan 'impartiality'.. dan seperti 'justice', "impartiality not only been done, but must seen to be done".

*Terkini: Peguam Negara telah memaklumkan bahawa mereka yang terlibat ini seramai 12 orang (sedangkan yang hadir dikatakan 50 orang) akan dituduh di bawah Akta Hasutan & Kanun Keseksaan. Polis Selangor telah pun menangkap 4 orang yang terlibat serta "menyeru" baki 8 suspek untuk tampil menyerah diri. - Sepatutnya ditangkap ketika sedang berdemo tempohari, bukannya sudah berlalu beberapa hari baru hendak menyeru untuk tampil kehadapan.

Harus diberi sedikit penghargaan kerana bertindak meski mungkin akibat desakan umum atau mungkin juga Kerajaan ingin menjaga imej sementelah PRK Bagan Pinang menyusul.