Khamis, Julai 24, 2008

Isu-Isu Perundangan Kes Baru DSAI

Selesai DSAI ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis bagi kesalahan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaaan, pelbagai reaksi dan persoalan yang bermain di minda seluruh rakyat Malaysia tidak kira samada daripada kalangan profesional, golongan atasan dan menengah mahupun rakyat marhain. Persoalan-persoalan ini , saya fikir, adalah persoalan-persoalan sama yang pernah menerjah minda sepuluh tahun dahulu. Sekiranya tidak dijawab, atau gagal dijawab oleh mana-mana pihak terutama pihak wewenang, maka akan ada suatu persepsi yang sememangnya wujud konspirasi seperti yang didakwa oleh DSAI. Untuk itu, adalah wajar sekiranya persoalan-persoalan ini dijawab dengan seberapa segera sebelum persepsi masyarakat- yang sudah nampak matang & bijak menilai - terhadap kepimpinan PM Abdullah, PDRM di bawah pimpinan Tan Sri Musa Hasan dan institusi kehakiman bertambah buruk.

Saya tidak hendak bincang dari sudut agama, malahan tidak berminat pun - soal sumpah depan Al-Quran, muhabalah, soal qazaf dan sebagainya. Biar mereka yang amat arif soal ini yang menyentuhnya. Bagi saya, Quran bukan alat untuk sumpah- menyumpah. Ianya Firman Allah buat panduan umatNya. Tiada dalam Quran yang menyuruh sumpah berkenaan tuduhan jenayah melainkan soal Li'an (yang membabitkan tuduhan suami isteri).

Saya bentangkan beberapa persoalan dari sudut perundangan yang mungkin wujud akibat daripada dakwaan terbaru ke atas DSAI.

Isu Laporan Polis yang dibuat pengadu - Saiful Bukhari Azlan.
Sekiranya tiada laporan polis yang dibuat terhadap DSAI, adakah ia akan menjejaskan siasatan polis? Dalam ertikata lain, bolehkah polis siasat tanpa laporan polis dibuat?
Adakah ianya dokumen awam (public document)?
Adakah DSAI berhak untuk mendapatkan salinan sah laporan tersebut?

Laporan Polis, suatu aduan yang dibuat oleh pengadu kepada pihak polis lebih dikenali sebagai First Information Report (FIR) dikalangan pengamal undang-undang. FIR ini bukanlah suatu condition precedent atau syarat utama yang mesti ada untuk memulakan suatu siasatan jenayah. Polis, tanpa FIR, tetapi berdasarkan atas maklumat yang diyakini ada asasnya, boleh menjalankan siasatan jenayah. Sebab itu, kes liwat DSAI pada tahun 1998, tidak ada Laporan Polis yang dibuat oleh Azizan, seingat sayalah, namun polis tetap menjalankan siasatan terhadap DSAI. Yang ada, hanyalah laporan mengenai salahguna kuasa (rasuah??) yang dilakukan oleh DSAI. Siasatan terhadap kes tersebut dijalankan dan menjurus juga kepada siasatan tuduhan liwat DSAI sepuluh tahun dahulu. Dalam kes Khwaja Nazir Ahmad A.I.R (1945) P.C. 18,(Kes Negara India), Hakim-hakim Privy Council telah memutuskan bahawa FIR bukanlah suatu yang menjadi kemestian untuk memulakan satu-satu siasatan terhadap tuduhan jenayah.

Seksyen 74 Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950), menyatakan bahawa :-

The following documents are public documents:
(a) documents forming the acts or records of the acts of -
(i) the sovereign authority;
(ii) official bodies and tribunals; and
(iii) public officers, legislative, judicial and executive, whether Federal or State or of any
other part of the Commonwealth or of a foreign country ; and
(b) public records kept in Malaysia or private documents.
(Bahasa Inggeris digunakan untuk tujuan pemahaman legislatif)

Dalam kes Hj Abdul Ghani Ishak melawan Pendakwa Raya (1980) 2 MLJ 196, Yang Arif Hakim Wan Yahya menyatakan:

"There is no doubt that the documents were recorded by a public officer, who was
under
a duty to record them and therefore they would, to my mind, fall under the
definition of
public documents"

Justeru, Laporan Polis yang dibuat oleh mana-mana pengadu di Malaysia ini adalah merupakan suatu dokumen awam yang boleh didapati oleh sesiapa pun dengan bayaran yang dikenakan. Selalunya, bayaran sebanyak RM2.00 dikenakan oleh pihak PDRM untuk mendapatkan sesalinan Laporan Polis. Jadi, laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari adalah dokumen awam yang menjadi hak DSAI untuk mendapatkannya dengan membayar RM2.00 kepada PDRM. Hak DSAI untuk mendapatkan salinan laporan polis itu adalah suatu yang termaktub di dalam kes undang-undang. Dalam kes Anthony Gomez melawan Ketua Polis Daerah Kuantan (1974) 2 MLJ 24, 25-26 (FC) , Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara (Lord President, ketika itu) Suffian , dalam menimbangkan rayuan pemohon terhadap permohonan mendapatkan salinan sah laporan polis (FIR) menegaskan :

" In our judgment, the applicant has a right to inspect the FIR & therefore the OCPD
should have given him a certified true copy. The applicant has a right to inspect the FIR
under Common Law because of his interest in it."

Saya cadangkan supaya panel peguam DSAI (yang sudah pastinya terdiri daripada kalangan otai-otai) membuat permohonan kepada Mahkamah untuk mendapatkan salinan sah Laporan Polis Saiful Bukhari tersebut - meski saya percaya cadangan ini telah pun dipertimbangkan lebih awal oleh mereka.

Intipati Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Seksyen 377A KK menyatakan bahawa perbuatan memasukkan penis ke dalam anus atau mulut pihak yang lain adalah dikatakan melakukan hubungan seks diluar tabii. Kesalahan ini boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 377B KK, bagi yang sukarela melakukan hubungan seks luar tabii ini- penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Manakala sekiranya perbuatan tersebut dilakukan terhadap orang lain tanpa kerelaan orang tersebut, maka pesalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 377C KK - penjara tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dalam konteks pendakwaan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 377A ini, "penetration" adalah mencukupi untuk menunjukkan suatu kesalahan itu berlaku. Sama seperti kes rogol di bawah Seksyen 376 KK, intipati utama adalah kemasukan penis ke dalam kemaluan wanita yang dirogol meski hanya sedikit sahaja dan dalam kes ini, kemasukan penis ke dalam anus si pengadu perlu dibuktikan. Bukti-bukti yang lain seperti DNA si tertuduh dan bukti-bukti keadaan(circumstantial evidence) hanyalah suatu bukti untuk mengesahkan sahaja (corroborative evidence). Secara amalan, pendakwaraya dalam kes 377, 377A, 377B dan 377C ini perlu membuktikan antara lain:

(i) that the accused had carnal intercourse with a man , woman or animal;
(ii) that such intercourse was against the order of nature;
(iii) that the accused did the act voluntarily;
(iv) that there was penetration.

(Ratanlal & Dhirajlal's Law of CRIMES with List of Malaysian Cases, New Delhi, 1998)

Justeru, menjadi suatu tanda tanya mengapa perlu sampel DNA DSAI diambil sekali lagi sedangkan sampel yang lama masih ada dalam simpanan HKL? Apakah tanpa DNA DSAI, maka pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan dakwaan liwat tersebut? Tambah geli-hati, bila mana PM sendiri boleh mengeluarkan kenyataan bahawa sampel DNA DSAI sudah lama dan perlu diambil yang baru. Mana-mana pelajar sains atau pun budak-budak kecil yang sentiasa membaca buku atau menonton Discovery pasti tahu bahawa DNA boleh bertahan lama.

Dan yang menjadi persoalan penting, mengapa tuduhan liwat ke atas DSAI dilakukan pada saat-saat DSAI mengumumkan akan bertanding dan akan menuju ke Putrajaya pada 16 September ini? Kita kena rujuk kembali kepada Seksyen 377B ini. Atas kesalahan 377B dan 377C KK, sekiranya DSAI dituduh di mahkamah, maka DSAI akan dinafikan jaminan kerana peruntukan seksyen tersebut. DSAI akan berada di dalam penjara kembali sepanjang proses perbicaraan. Maka, persoalan ini akan timbul dalam benak rakyat Malaysia, apakah ini bermotifkan politik? Untuk menghalang sesuatu daripada terjadi?

Banyak lagi persoalan-persoalan yang timbul yang tidak larat dibentangkan di sini. Cukup dengan yang ada ini, sudah pasti menggerakkan sanubari bertanya, mengapa..dan mengapa?

4 ulasan:

mohsein shariff berkata...

Saiful,

banyak lagi persoalan yang tidak dijawab. Masing2 ingin mempertahankan hak masing dalam senario kali ini.

Di pihak kerajaan, ketelusan dan kecekapan menangani episod ini ditagih agar perkara2 tidak diingini seperti demo jalanan dapat dielakkan. Cukuplah dengan bebanan kos yang meningkat, jangan ditarik rakyat menjadi hakim dalam 'pergelutan kuasa' ini

Di pihak DSAI, cukuplah dengan pelbagai tohmahan kepada institusi polis dan kehakiman seolah2 semuanya tidak ada yang betul. Jika benar tiada sebarang agenda politik, DSAI harus mencari jalan menyegerakan proses penyiasatan. Tidak perlu terus menentang dan menolak kerana rata2 rakyat boleh menerima pimpinan berteraskan rakyat walaupun dicanang sebagai pemimpin tidak berakhlak!

Yang pasti politik orang melayu ini semakin mual dan mengjengkelkan!

http://morkymoqq.blogspot.com/2008/07/wahai-pembesar-pembesar-melayu.html

Amier berkata...

Saya amat suka dengan ulasan saudara dari kaca mata seorang pengamal undang undang. entri kali ini memarik sekali lengkap dengan rujukan kes kes . syabas. teruskan entri sebegini paling tidak boleh menambahkan maklumat kami yang membaca.

Tanpa Nama berkata...

Salam Epoi,
Kritikan yang keras kadang-kadang perlu. Sifatnya keras maka walhasilnya untuk sedikit peringatan. Tambah memenatkan bila melihat rakan-rakan sekeliling mengambil sikap tidak peduli akan masa depan anak cucu mereka. Yang mereka peduli perut depa yang hari ini sahaja!

*Abangchik ada merancang pertemuan.

Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata...

To moqq, setuju akan situasi polemik politik orang melayu semakin memualkan. Dua-dua pihak perlu bertanggungjawab untuk masa depan Malaysia seterusnya..untuk anak-anak aku membesar dan untuk aku habiskan sisa-sisa tua.

To amier, insyaAllah..kalau ada masa terluang. Lagipun, bukan boleh tulis suka hati, perlu research. Lagipun, dah lama dah tinggal nota-nota law masa kuliah itm dulu.

To wary, noted on the point. Pertemuan abg chik ni, berapa orang yang akan hadiri?