Jumaat, Oktober 17, 2008

Catitan Sekali Harung

Atas kesibukan yang menghambat, tidak upaya rasanya untuk menambah ulasan baru sejak beberapa minggu yang lepas. Namun, dengan sedikit ruang yang diberi Allah untuk mencatat, menterjemah situasi yang berlaku sejak akhir-akhir ini serta menilai persepsi dan tugas untuk menyanggah sekiranya punyai kelemahan dan lompong untuk disanggah, saya akan mengulas beberapa perkara sekali harung .

Bermula dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri bagi mereka yang menyambutnya. Tidak terlambat rasanya untuk sama-sama bergembira meraikan perayaan ini. Meski sambutan kali ini agak menghambat saya & keluarga, suasana tetap ceria tambah diraikan dengan ahli keluarga yang baru, sikecil pengarang hati. Cuma ralat, tiada sebarang gambar keluarga yang sempurna yang dapat diambil dek kerana kelam-kabut untuk menguruskan si kecil dan bergegas ke pusara Papa tercinta di pagi Syawal. Maaf Darius, Daddy pinjam butang baju melayu sebab Daddy lupa mana Daddy letak butang baju melayu Daddy. Kesian, nampak sangat selekehnya anak Daddy nih. InsyaAllah, masa Aidiladha nanti dapatlah kiranya bergambar sekeluarga. Syukur, kedua-dua Mama masih sihat meraikan Aidilfitri kali ini. Terima kasih tidak terhingga kepada abang sulung atas pemberiannya. Saya amat-amat menghargai.

Diteruskan dengan pengumuman persaraan PM Abdullah Mac 2009 nanti. Syukurlah, setidak-tidaknya, suara hati rakyat & akar umbi UMNO telah didengari. Selamat Maju Jaya diucapkan kepada PM Abdullah. Jasa tetap tidak akan dilupakan. Najib sebagai PM yang baru?...Secara peribadi, tidak dapat saya setuju. Namun, biarlah orang UMNO sendiri yang memilih siapa yang layak teraju sebagai Presiden.

Datuk Shahrukh Khan??.. Hmmm... apa nak jadi dengan TYT Melaka nih. Tidak malu saya katakan saya juga peminat "Datuk" Shahrukh Khan yang setia. Zaman saya bercinta dengan isteri tercinta dulu-dulu pun dihiasi dengan filem-filem dan lagu-lagu Bollywood Shahrukh Khan khususnya.Tapi , tidaklah sampai saya mahu beri darjah kebesaran kepada beliau sekiranya saya punyai kapasiti untuk berbuat sedemikian. Biarlah, apa jua rasional yang diberikan untuk menghalalkan pemberian darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada Shahrukh Khan tetap tidak dapat diterima oleh akal rakyat Malaysia yang waras. Sumbangan ekonomi? Fikirlah sendiri... Pelancongan? Jauh panggang dari api rasanya.. Persepsi sebegini yang perlu disanggah. Kita, orang Malaysia cukup terhegeh-hegeh dengan bintang Bollywood. Sudah lupakah dengan sikap kurang sopan mereka tatkala dua kali mengadakan acara "Award" (lupa nama penuh sambutan award yang dilakukan) di Malaysia?

Dan yang akhir, saya kelu tatkala mengetahui Mufti Perlis akan menamatkan kontrak sebagai Mufti pada Disember ini. Sungguh, Dr. Asri telah menyemarakkan budaya menilai dan mengkaji sebagai hujah dalam pencarian. Kesarjanaan. Itulah ungkapan Dr. Asri yang menarik hati & sanubari saya untuk mengkaji. Moga Allah sentiasa merahmati Dr. Asri. Meski, jawatan bukan suatu yang penting. Namun, adakalanya jawatan memudahkan untuk menyampaikan.