Khamis, Jun 26, 2008

Kesan Domino Kenaikan Harga Petrol

Suasana ekonomi yang tidak menentu akhir-akhir ini mengundang pelbagai kesan rantaian (chain of reaction) terhadap kehidupan rakyat di Malaysia kini. Ditambah lagi dengan kenaikan harga petrol, barangan runcit, tariff eletrik dan pelbagai lagi seolah-olah mendorong kepada kesan inflasi yang mendadak meski ada kawalan oleh pihak yang wewenang.

Keadaan menjadi semakin resah dan membimbangkan apakala kejadian jenayah kian meningkat selari dengan harga petrol. Telah lebih daripada 5 kali (kalau tidak silap) berlakunya kes rompakan terhadap kedai barangan kemas yang membabitkan jumlah barang kemas yang agak besar nilainya baru-baru ini - beberapa minggu selepas diumumkan kenaikan tersebut. Ditambah lagi dengan kejadian curi dalam bangunan terhadap mesin-mesin ATM dengan modus operandi yang tersusun semacam meniru aksi dalam filem membabitkan ribuan ringgit. Lebih membimbangkan, kejadian ini berlaku di tempat-tempat awam yang biasanya dikunjungi oleh ramai orang.

Isu keselamatan rakyat terutama sekali warga emas dan kanak-kanak yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian menjadi fokus utama yang sewajibnya diberi perhatian oleh pihak keselamatan yang sememangnya tugasnya menjaga keselamatan.

Kejadian jenayah ini - yang kebanyakannya melibatkan warga asing- sudah seperti menjadi trend bagi memenuhi desakan hidup akibat daripada kesan ekonomi untuk hidup sehari-hari meski ini bukan alasan untuk berbuat demikian.

Untuk itu, kerajaan harus melihat kesan-kesan ini dan pertimbangan yang sewajarnya mesti diambilkira serta tindakan-tindakan susulan dan satu pelan jalan keluar mesti dirancang dan dilaksana.

Selasa, Jun 24, 2008

Setelah Lama Menyepi

Telah sebulan lebih tidak mengemaskini Kerangka Minda ini dek kerana kesibukan serta pelbagai perkara yang perlu diuruskan akhir-akhir ini. Teman-teman banyak yang mula soal kenapa begitu sepi?

Tidak menang tangan serta masa yang agak terhad menyebabkan saya mengambil pendekatan berehat sementara daripada meninjau dan menterjemah pelbagai isu yang berlaku sejak beberapa bulan yang lepas - bermula dengan isu penahanan Raja Petra, keluarnya Tun Dr. M daripada UMNO, masuknya kembali Sdr Ezam Md Noor ke dalam UMNO (main ganti tempat apa?...), kemenangan Obama, isu kenaikan harga minyak, barang-barang, 100 hari pentadbiran PR dan PM Abdullah dan banyak lagi - meski hati dan minda ingin sangat berbicara namun kudrat pinjaman Yang Esa tidak dapat menampung seketika.

Tambahan, si kecil baru-baru ini demam panas terkena jangkitan Virus Roseola Infantum - nyaris dimasukkan ke hospital. Suhu meningkat ke 40" celcius, badan keluar ruam-ruam merah selepas demam panas 3 hari. Alhamdulillah, akhirnya sihat semula. Gundah hati ini apabila doktor sarankan supaya si kecil dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian lanjut. Allah saja yang tahu perasaan saya & isteri. Tergamam, diam seketika buat beberapa jam selepas saranan doktor. Tak dapat dibayangkan anak berusia hanya 5 bulan dimasukkan ke wad. Tidak pernah langsung terlintas bayangan sedemikian. Pun begitu, rasa syukur & terima kasih buat keluarga yang sentiasa mengambil berat dan berdoa bersama.

InsyaAllah, jika diizinkan, Kerangka Minda akan terus menterjemah isu-isu semasa dan global.